Ini Respon UEFA Bila Diminta Gantung Pasukan Bola Sepak Israel
Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memberikan respon berhubung penyertaan Israel dalam pertandingan antarabangsa di bawah seliaannya, susulan desakan agar negara itu digantung dari mana-mana pertandingan.
Pada perlawanan SuperCup antara Paris Saint-Germain dan Tottenham, UEFA dilihat memaparkan kain rentang bertulis “Hentikan pembunuhan kanak-kanak. Hentikan pembunuhan orang awam”.
Menurut sumber UEFA kepada The Times, mesej itu bersifat kemanusiaan, dan bukanlah bersifat politik.
UEFA juga menjemput dua kanak-kanak pelarian Palestin menyertai majlis penyampaian pingat Super Cup berkenaan.
Ia termasuk mengumumkan inisiatif bantuan kemanusiaan untuk kanak-kanak di Gaza, kit bantuan kecemasan, peralatan perubatan, rawatan pemulihan serta penjagaan bagi yang cedera parah atau kurang upaya.
Perkara ini timbul selepas UEFA menerusi hantaran di media sosial X memberi penghormatan kepada bekas pemain bola sepak Palestin, Suleiman Al-Obeid.
Bagaimanapun, UEFA dalam hantaran itu tidak menyatakan butiran kematiannya.
Bintang Liverpool, Mohamed Salah, mempersoalkan UEFA dengan bertanya punca, lokasi dan sebab kematian tersebut.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Palestin memaklumkan Obeid maut akibat serangan Israel di selatan Gaza ketika menunggu bantuan kemanusiaan.
Presiden UEFA, Aleksandar Ceferin, menegaskan bahawa kanak-kanak adalah mangsa yang tidak bersalah dalam mana-mana konflik.
Sehubungan itu, pihaknya akan berusaha menyokong usaha meringankan beban mereka melalui Yayasan UEFA untuk Kanak-kanak.
“Apa sahaja yang orang dewasa fikir mereka lakukan ketika berperang, kanak-kanak tetap tidak bersalah.
“Tetapi dalam semua konflik, kanak-kanak mati setiap hari dan kita mesti melakukan apa yang mampu untuk membantu pihak yang cuba menjadikan hidup mereka lebih baik dan normal,” katanya.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 17,000 kanak-kanak terbunuh sejak Oktober 2023.
Sumber: Sport Bibble, BBC