Ini Isi Kandungan Gencatan Senjata Gaza
Perjanjian gencatan senjata pusingan pertama antara Israel dan Hamas dilapor telah berjaya dicapai dan dimeterai.
Menurut BERNAMA, fasa pertama perjanjian tersebut akan berlangsung selama 42 hari dan bermula Ahad ini.
Perjanjian berkenaan turut melibatkan Qatar, Amerika Syarikat dan Mesir yang bertindak sebagai mediator dan penjamin.
Manakala AFP dalam laporannya hari ini mendedahkan isi kandungan gencatan senjata yang dicapai, berdasarkan sumber-sumber dari Qatar, Amerika Syarikat, Israel dan Palestin.
Isi kandungan gencatan senjata pusingan pertama Gaza yang berjaya dicapai
Dalam pusingan pertama gencatan senjata yang menyasarkan penamatan perang di Gaza, seramai 33 orang tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas akan dibebaskan.
Dua sumber rapat dengan Hamas memberitahu Israel juga akan membebaskan 1,000 orang tahanan warga Palestin yang ditahannya.
Bagaimanapun, sumber dari Israel mendakwa hanya ‘ratusan’ tahanan akan dibebaskan.
Menurut sumber dari Qatar, tebusan yang akan dibebaskan terdiri daripada wanita (orang awam dan tentera), orang tua, kanak-kanak serta orang awam yang sakit dan cedera.
Seorang pegawai Israel yang tidak mahu dikenali berkata, pihaknya akan membebaskan ‘ratusan’ tahanan Palestin sebagai pertukaran kepada 33 orang tebusan Israel.
Bagaimanapun, jumlah muktamad yang akan dibebaskan bergantung kepada berapa ramai daripada 33 tebusan yang dibebaskan Hamas itu masih hidup.
33 orang tebusan yang akan dibebaskan itu merupakan sebahagian daripada 94 orang tebusan yang masih ditahan oleh Hamas di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Menurut Times of Israel, pegawai Israel percaya 33 orang tebusan itu masih hidup, bagaimanapun pengesahan daripada pihak Hamas masih tergantung.
Dalam pada itu, sumber yang rapat dengan Hamas memberitahu antara tahanan warga Palestin yang akan dibebaskan termasuk individu yang menjalani hukuman penjara yang panjang.
Israel akan mengekalkan zon penampan
Semasa gencatan senjata pusingan pertama ini, Israel juga diarahkan untuk berundur dari kawasan berpenduduk padat di Gaza.
Ia bagi membolehkan proses pertukaran tahanan dan pertukaran jenazah kedua-dua belah pihak berjalan lancar. Pada masa yang sama akan membenarkan kepulangan semula warga Gaza yang terpaksa berpindah sebelum ini.
Manakala, rundingan gencatan senjata pusingan kedua akan bermula pada hari ke-16 selepas fasa pertama dilaksanakan, kata pegawai dari Israel.
Pusingan kedua ini melibatkan rundingan membebaskan baki tebusan yang terdiri daripada anggota tentera dan lelaki dewasa serta jasad tebusan yang sudah meninggal dunia.
Dalam pada itu, media Israel melaporkan bahawa tentera Israel akan mengekalkan zon penampan dalam Gaza sepanjang pusingan pertama gencatan senjata ini berlangsung.
“Tentera Israel akan kekal 800 meter dalam Gaza, bermula dari Rafah di selatan hingga Beit Hanun di utara.
“Mereka tidak akan berundur sepenuhnya dari Gaza sehingga semua tebusan dikembalikan,” lapor media Israel.
Menurut AFP, Israel akan membenarkan orang awam untuk bergerak dari Selatan Gaza menuju ke kawasan di utara.
Penduduk di Gaza dapat kembali ke pusat pemeriksaan elektronik
Manakala sumber rapat Hamas memberitahu tentera Israel akan berundur dari koridor Netzarim ke arah barat daya menuju ke Jalan Salaheddin di timur.
Ia akan membenarkan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal untuk pulang melalui pusat pemeriksaan elektronik yang dilengkapi kamera.
Tiada tentera Israel akan hadir di kawasan itu. Manakala anggota Hamas atau pasukan-pasukan lain di Palestin tidak akan dibenarkan melintasi pusat pemeriksaan tersebut.
Sasar untuk menamatkan perang
Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat yang bertindak sebagai mediator akan memantau gencatan senjata yang berlangsung menerusi satu badan yang akan beroperasi di Kaherah.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani turut menggesa semua pihak yang terlibat dalam perang di Gaza untuk kekal tenang menjelang pelaksanaan gencatan senjata pusingan pertama ini.
Katanya, mekanisma yang jelas untuk rundingan pusingan kedua dan ketiga sudah pun ada.
“Kami berharap ini akan menjadi fasa akhir kepada peperangan yang berlangsung dan menggesa semua pihak agar komited melaksanakan terma-terma yang sudah dipersetujui,” kata Sheikh Mohammed.
Dibawah persetujuan yang digariskan oleh Qatar, perincian rundingan gencatan senjata pusingan kedua dan ketiga akan dimuktamadkan semasa gencatan senjata pusingan pertama berjalan.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata gencatan senjata pusingan kedua nanti berkemungkinan akan menamatkan peperangan di Gaza.
Tambah Biden, gencatan senjata pusingan kedua melibatkan pembebasan baki tebusan Israel yang masih hidup termasuk anggota tentera.
Tentera Israel kemudian akan berundur sepenuhnya dari Gaza selepas itu.
BACA: Gencatan Senjata Di Gaza Bermula Ahad, Kata PM Qatar
Sumber: AFP, BERNAMA