
Ini 5 Tradisi Unik Dunia Rai Tahun Baharu, No. 3 Paling Mengejutkan
Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita bakal melangkah ke tahun 2026. Seperti setiap tahun, sambutan tahun baharu akan diadakan di kebanyakan tempat di seluruh dunia.
Di Malaysia, sambutan tahun baharu diraikan dengan pelbagai cara seperti bercuti atau meluangkan masa berkumpul bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.
Namun, tahukah anda bahawa di beberapa negara lain, kedatangan tahun baharu disambut dengan tradisi yang unik dan tidak biasa, malah ada yang mungkin sukar dipercayai.
Tradisi ini diamalkan sebagai simbol harapan, tuah serta permulaan baharu yang lebih baik pada tahun mendatang.
Justeru, SK kali ini akan kongsikan lima tradisi ‘unik’ di dunia sempena tahun baharu yang mungkin anda tak sangka ia wujud.
Perbuatan memakan 12 biji anggur setiap kali sambutan tahun baharu sudah menjadi tradisi masyarakat di Sepanyol.
Difahamkan, anggur tersebut juga boleh disusun pada lidi dan dihidangkan sebagai hiasan koktel yang menyeronokkan sempena sambutan malam Tahun Baharu.
Menurut masyarakat setempat, budaya makan 12 biji anggur dapat memberi kemakmuran dan kebahagiaan.
Selain itu, budaya membakar patung padi atau dipanggil scarecrow menjadi tradisi popular dalam kalangan masyarakat Ecuador.
Dikenali sebagai Año Viejo, tradisi ini dilakukan dengan membakar patung-patung tepat pada tengah malam sempena kedatangan tahun baharu.
Patung-patung tersebut biasanya menyerupai figura atau watak fiksyen yang melambangkan aspek negatif tahun yang melabuhkan tirainya bagi memberi laluan kepada tahun baharu.
Tradisi ini dipercayai berusia lebih 200 tahun, bermula pada 1895 apabila wabak demam kuning melanda Guayaquil, mengakibatkan pembakaran besar-besaran pakaian bagi memastikan penyakit tersebut musnah.
Bermalam di kawasan tanah perkuburan merupakan satu kebiasaan bagi segelintir penduduk di Talca, Chile.
Difahamkan, ia masih menjadi amalan penduduk setempat setiap kali sambutan tahun baharu sehingga ke hari ini.
Ahli keluarga biasanya membawa makanan dan minuman untuk diraikan di sisi kubur, menyalakan lilin dan menghias pusara insan tercinta yang telah pergi buat selamanya.
Selain itu, tradisi tersebut dianggap sebagai penghormatan buat ahli keluarga mereka yang sudah tiada, selain menggembirakan roh orang tersayang sempena meraikan sambutan tahun baharu.
Amalan membaling atau mengetuk sebuku roti pada pintu rumah menjadi salah satu tradisi masyarakat setempat terutamanya di kawasan pedalaman Ireland.
Untuk makluman, mereka percaya amalan membaling dan mengetuk roti pada pintu dapat membuang nasib malang serta roh jahat daripada penghuni rumah.
Di Denmark, tradisi melompat dari kerusi pada tepat detik tengah malam setiap kali menyambut tahun baharu adalah sesuatu yang unik.
Aktiviti ini dianggap sebagai salah satu cara masyarakat di sana untuk memulai tahun baharu dengan harapan dan keberuntungan yang lebih baik.
Menurut kepercayaan tradisional, melompat dari kerusi melambangkan usaha untuk keluar dari segala kesulitan dan nasib buruk yang mungkin dialami sepanjang tahun sebelumnya.
Dalam masa yang sama, tindakan ini diyakini sebagai satu langkah simbolik untuk masuk ke tahun baharu dengan keberanian, semangat dan harapan yang tinggi.
Tradisi ini sering dilakukan secara beramai-ramai bersama keluarga atau rakan-rakan, mencipta suasana penuh meriah dan gelak tawa.
Sumber: Countryliving, Travel Local, CBC