Tokoh Yang Lahir Pada 1 Januari
Kredit: Britannica, Liputan, battlefields
Tiada Kategori

Ini 5 Tokoh Dunia Yang Lahir Pada 1 Januari

Athirah

Ini 5 Tokoh Dunia Yang Lahir Pada 1 Januari

Umum diketahui, tokoh merujuk kepada seseorang yang terkenal atau memiliki pengaruh besar dalam sesuatu bidang seperti politik, seni, pendidikan, sains dan agama.

Tokoh biasanya dihormati kerana pencapaian, jasa atau sumbangan mereka yang luar biasa kepada masyarakat setempat mahupun bidang tertentu.

Selain itu, mereka yang terpilih merupakan figura penting yang meninggalkan kesan besar dalam sesuatu aspek kehidupan. Di antara mereka telah menakluki dunia dan memimpin dengan hebat serta mengubah sejarah dunia.

Jadi kali ini, SK ingin berkongsi kepada anda lima tokoh hebat yang lahir pada 1 Januari.

Laksamana Keumalahayati

Menurut portal Seasia, Keumalahayati yang dilahirkan pada tahun 1585 bukan calang-calang orangnya kerana moyangnya Sultan Ali Mughayat Shah yang berdarah Champa merupakan pengasas Kesultanan Acheh.

Setelah menamatkan pendidikan di pesantren, beliau melanjutkan pelajaran di Akademi Tentera Diraja Aceh, Ma’had Baitul Maqdis.

Selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis, Kesultanan Aceh memperkukuhkan kekuatan maritimnya untuk mengawal laluan perdagangan di Selat Melaka.

Sultan Alauddin Mansur Syah melantik Malahayati sebagai laksamana dan beliau memimpin armada yang dikenali sebagai “Inong Balee”, terdiri daripada para janda pejuang yang suami mereka gugur dalam pertempuran.

Pada tahun 1599, Malahayati memimpin pasukannya menentang ekspedisi Belanda yang diketuai oleh Cornelis de Houtman. Dalam pertempuran tersebut, beliau berjaya membunuh de Houtman pada 11 September 1599.

Selain itu, beliau juga terlibat dalam diplomasi dengan pihak Inggeris. Pada tahun 1602, Malahayati berunding dengan James Lancaster, utusan Ratu Elizabeth I, yang membawa kepada perjanjian yang membuka laluan perdagangan Inggeris ke Jawa.

Malahayati gugur dalam pertempuran pada tahun 1606 ketika mempertahankan Teluk Krueng Raya daripada serangan armada Portugis.

Difahamkan, beliau telah dikebumikan di lereng Bukit Kota Dalam, sebuah perkampungan nelayan kecil kira-kira 34 km dari Banda Aceh.

Sebagai penghormatan atas jasa-jasanya, namanya diabadikan pada beberapa institusi seperti universiti, hospital, dan kapal perang KRI Malahayati.

Paul Revere

Menurut portal Britannica, Paul Revere merupakan seorang tukang perak, pegawai tentera, dan industrialis Amerika yang memainkan peranan penting dalam Revolusi Amerika.

Beliau terkenal dengan gelaran “Midnight Ride” pada 18 April 1775, di mana beliau menunggang kuda untuk memberi amaran kepada penduduk koloni mengenai pergerakan tentera British sebelum Pertempuran Lexington dan Concord.

Selain daripada tunggangannya yang terkenal, beliau juga membantu menganjurkan sistem perisikan dan amaran untuk memantau pergerakan tentera British

Selepas perang, Paul Revere kembali kepada kerjaya tukang peraknya dan mengembangkan perniagaannya kepada pengecoran besi, pembuatan loceng gangsa, dan penempaan tembaga.

Pada tahun 1800, beliau menjadi orang Amerika pertama yang berjaya menggulung tembaga menjadi kepingan untuk digunakan sebagai pelapisan pada kapal tentera laut.

J. Edgar Hoover

Menurut portal PBS, J. Edgar Hoover merupakan pengarah pertama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam membangunkan FBI menjadi agensi penguatkuasaan undang-undang yang berpengaruh dan moden.

Dilahirkan di Washington, D.C., Hoover memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang.

Pada tahun 1924, beliau dilantik sebagai Pengarah Biro Penyiasatan, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai FBI pada tahun 1935.

Di bawah kepimpinannya, FBI memperkenalkan teknik penyiasatan saintifik dan program latihan yang ketat untuk ejen.

Untuk makluman, beliau telah berkhidmat sebagai Pengarah FBI selama hampir 48 tahun, berkhidmat di bawah lapan presiden Amerika Syarikat, sehingga kematiannya pada tahun 1972.

Noor Inayat Khan

Menurut portal BBC, wanita yang dikenali sebagai Noor Inayat Khan ialah seorang ejen perisikan British semasa Perang Dunia Kedua yang berkhidmat dalam Special Operations Executive (SOE).

Selepas pendudukan Jerman di Perancis, Noor dan keluarganya melarikan diri ke Britain. Di sana, beliau menyertai Women’s Auxiliary Air Force (WAAF) dan kemudian direkrut oleh SOE kerana kemahiran bahasa Perancisnya yang fasih.

Pada Jun 1943, beliau menjadi operator radio wanita pertama yang dihantar ke Perancis yang diduduki Nazi untuk membantu pergerakan penentangan Perancis.

Walaupun rangkaian perisikannya dibongkar oleh Gestapo, Noor memilih untuk terus beroperasi secara bersendirian, menjadikannya satu-satunya operator radio British di kawasan Paris pada masa itu.

Wanita ini berjaya menghantar maklumat penting kepada London sebelum ditangkap oleh Gestapo pada Oktober 1943.

Selepas percubaan melarikan diri yang gagal, beliau dihantar ke kem tahanan Dachau di Jerman, di mana beliau dihukum mati pada 13 September 1944.

Betsy Ross

Dikenali sebagai seorang penjahit Amerika yang terkenal kerana dikaitkan dengan pembuatan bendera pertama Amerika Syarikat.

Menurut portal Britannica, beliau dikatakan telah menjahit bendera yang dikenali sebagai “Bendera Betsy Ross” atas permintaan George Washington.

Walaupun tiada bukti sejarah yang kukuh untuk menyokong dakwaan ini, kisah tersebut telah menjadi sebahagian daripada warisan budaya Amerika dan menjadikan Betsy Ross sebagai simbol patriotisme.

Selain peranannya yang dikaitkan dengan bendera, Betsy Ross juga dikenang kerana sumbangannya semasa Perang Revolusi Amerika. Beliau menjalankan perniagaan upholsteri dan penjahitan, menyediakan perkhidmatan kepada tentera Continental.

Britannica berkata, beliau telah meninggal dunia pada 30 Januari 1836 di Philadelphia, Pennsylvania.

BACA: Dua Pelajar Maut, Motosikal Ditunggang Bertembung

Sumber:

Seasia

,

Britannica

,

BBC

,

PBS