UMNO meminta Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Yasin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya meletakkan jawatan secara terhormat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, kerajaan pimpinan Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin telah mengingkari titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen.
“Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan, kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa supaya semua ahli-ahli parlimen UMNO perlu menarik sokongan ke atas Perdana Menteri bagi memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“Ahli-ahli Parlimen Umno mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin sebagai Perdana Menteri.
“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan; memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa pendirian tersebut perlu dibuat seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO bagi sentiasa memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu.
Sumber: Bernama TV