Seorang wanita terkejut apabila menyedari dirinya sedang hamil, hanya kira-kira satu jam sebelum melahirkan kandungan tersebut yang sudah pun berusia 9 bulan dalam kejadian yang berlaku di daerah Cidaun, wilayah Kabupaten Cianjur, Jawa Barat, Indonesia.
Wanita itu yang dikenali sebagai SZ, 25, melahirkan bayinya secara normal seberat 2.9 kilogram (kg) di hospital berdekatan pada Jumaat (12/2/2021).
Menurut SZ, dia langsung tidak mengalami sebarang tanda-tanda kehamilan kecuali melihat perutnya yang sedikit membuncit.
Ketika hari melahirkan, dia yang sedang berehat merasa sakit pada perut dan segera mendapatkan rawatan di hospital kerana menyangka hanya sekadar sakit perut biasa.
Setelah doktor melakukan pemeriksaan, dia terkejut apabila doktor memberitahu bahawa dia mengandung dan sudah tiba masanya untuk bersalin.
“Terkejut dan hairan, dia mengatakan saya hamil dan sudah tiba masanya untuk melahirkan,” kata SZ.
Difahamkan, tempoh waktu di antara wanita itu merasa perutnya sakit dan membuncit sehingga dia mengalami proses bersalin hanya sekitar satu jam.
Sementara itu, Pemangku Ketua Perkhidmatan Kesihatan Cianjur, Irvan Nur Fauzi, berkata, kejadian itu bukanlah perkara baru, tetapi hanya jarang berlaku.
Jelas beliau, di dalam dunia perubatan, apa yang dialami oleh SZ dikenali sebagai cryptic pregnancy atau kehamilan samar.
Wanita yang mengalami kes ini tidak menyedari dirinya sedang hamil kerana proses atau tanda kehamilan sangat halus sehingga keadaan tubuh tidak mengetahuinya, kata Irvan.
“Jadi, ibu ini mengandung, tetapi tidak menyedarinya dan hanya tahu mengenai kandungan ketika saat ingin melahirkan,” jelasnya.
Selain itu,faktor fizikal dan psikologi atau gabungan kedua-duanya boleh menyebabkan kehamilan samar. Manakala, kehamilan ghaib juga boleh berlaku kerana faktor hormon.
Di mana kemungkinan kitaran haid tidak stabil, sehingga ketika keluar darah disalah anggap sebagai haid, walaupun tidak.
Namun begitu, kehamilan samar harus dicegah kerana boleh menyebabkan kesan yang buruk bagi perkembangan bayi di dalam rahim dan juga semasa melahirkan.
Ibu yang berhadapan dengan situasi ini bukan sahaja tidak mempunyai persiapan untuk bersalin, tetapi bayi tidak mendapat nutrisi yang cukup semasa dalam kandungan.
Sumber: Tribun News