Indonesia Tetapkan Kos Haji Pada 87.4 Juta Rupiah Setiap Jemaah
JAKARTA, 30 Oktober (Bernama) — Kos purata penyelenggaraan Haji 2026 bagi setiap jemaah Indonesia ditetapkan pada 87.4 juta rupiah (kira-kira RM25,700), iaitu penurunan sekitar dua juta rupiah berbanding tahun lalu.
Ketetapan itu dicapai hasil perbincangan antara Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), kerajaan Indonesia dan Badan Pengelola Keuangan Haji (BPKH) di Kompleks Parlimen pada Rabu.
Pengerusi Suruhanjaya VIII, Marwan Dasopang dalam satu kenyataan berkata jumlah itu dianggap berpatutan tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan untuk 221,000 jemaah, dengan purata tempoh berada di Tanah Suci selama 41 hari.
Beliau menjelaskan bahawa jemaah akan membayar 54.2 juta rupiah, manakala baki 33.2 juta rupiah ditanggung menerusi hasil pelaburan dana Haji.
Lebihan sebanyak 149 bilion rupiah akan disimpan sebagai subsidi bagi musim Haji seterusnya.
Beliau juga menegaskan bahawa peningkatan kualiti perkhidmatan kekal menjadi keutamaan, termasuk penyediaan penginapan berhampiran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sajian makanan bercirikan Indonesia, serta pemberian wang saku kepada jemaah.
Sumber: Bernama
BACA: Kos Haji 2026 Kekal, Bantuan RM210 Juta Legakan Jemaah
BACA: Senarai 31 Syarikat Terima Lesen Pengelola Jemaah Haji Daripada TH
BACA: Syarat Kesihatan Haji 1447H 2026 – Ini Yang Perlu Anda Tahu