Presiden Indonesia, Joko Widodo memaklumkan terdapat dua kes positif terbaharu serangan wabak Coronavirus (COVID-19) di negara tersebut, menjadikannya sebagai kes pertama yang disahkan.
Beliau berkata, seorang wanita berumur 64 tahun dan anak perempuannya, 31 tahun disahkan positif selepas berhubungan dengan warga Jepun yang tinggal di Malaysia dan turut disahkan positif selepas pulang dari perjalanan ke Indonesia.
Tambahnya lagi, pasukan perubatan Indonesia telah mengenal pasti pergerakan warga Jepun tersebut sebelum mendedahkan kes itu.
“Selepas pemeriksaan kesihatan dijalankan, mereka didapati dalam keadaan sakit.
“Pagi ini saya mendapat laporan bahawa ibu dan anak perempuannya itu disahkan positif COVID-19,” kata Jokowi berkenaan mereka yang kini sedang dirawat di Hospital Sulianti Saroso, Jakarta.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Terawan Agus Putranto memberitahu kepada wartawan bahawa warga Jepun itu adalah kawan kepada dua beranak tersebut dan pernah berkunjung ke rumah mereka.
“Keduanya dalam keadaan baik..mereka tidak ada masalah pernafasan yang serius,” jelasnya.
Beliau menambah, pihak berkuasa sedang menyiasat warga Jepun yang lain yang mungkin pernah berhubungan dengan mereka.
Sumber: Channel News Asia