Gambar: AFP

Indonesia Perjelas Khabar Angin Mahu Beli Jet Pejuang J-10 Buatan China

Iqbal Yasir

Indonesia Perjelas Khabar Angin Mahu Beli Jet Pejuang J-10 Buatan China

JAKARTA — Kementerian Pertahanan Indonesia tampil menjelaskan dakwaan bahawa negara itu telah membuat keputusan untuk membeli jet pejuang J-10 buatan China, dengan menegaskan bahawa perkara tersebut masih berada di peringkat penilaian awal, lapor CNN Indonesia.

Timbalan Menteri Pertahanan, Donny Ermawan Taufanto, berkata khabar angin tersebut bermula selepas lawatan Ketua Staf Tentera Udara, Marsekal Tonny Harjono, ke China baru-baru ini.

Beliau berkata ketika itu Tonny melihat pesawat tersebut dalam satu pameran udara, dan Indonesia turut ditawarkan untuk membelinya.

“Ia masih khabar angin sahaja. Ketika itu, Ketua Staf Angkatan Udara melawat ke China, dalam pameran udara tersebut beliau melihat pesawat itu dan kita turut ditawarkan,” kata Donny di Kementerian Pertahanan, Jakarta Pusat, Rabu (4 Jun).

Beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pertahanan kini sedang menilai kemungkinan untuk menggunakan jet tempur J-10 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pertahanan negara.

Donny menegaskan bahawa Indonesia adalah sebuah negara berkecuali, dan tidak terikat dengan mana-mana blok atau pakatan, justeru tidak menjadi masalah untuk membeli peralatan utama sistem senjata (alutsista) dari mana-mana negara, termasuk China.

“Kita negara yang berkecuali, tidak berpihak kepada mana-mana negara, tidak mempunyai aliansi, jadi kita boleh mendapatkan sumber senjata dari mana-mana negara, termasuk China,” ujarnya.

“Kalau selepas penilaian kita dapati pesawat ini bagus, menepati kriteria yang telah ditetapkan, dan harganya pula berpatutan, maka kenapa tidak?” tambah Donny.

Beliau turut menjelaskan beberapa kriteria penting dalam pemilihan jet tempur, antaranya keupayaan pesawat, jarak penerbangan, dan jenis persenjataan yang boleh dibawa.

“Mengenai keupayaan, sejauh mana ia boleh terbang, dan jenis senjata yang boleh dibawa, itu semua perlu diteliti.

“Setakat ini, kita belum sampai ke tahap itu. Ini baru peringkat penawaran dan kita sedang melihat kemungkinannya. Kita juga belum menghantar pasukan untuk kajian mendalam,” katanya.

Sumber: CNN Indoenesia

BACA: Tidak Rasmi: Dua Beregu Lelaki Negara Pegang Ranking Nombor 1 & 2 Dunia