Indonesia Sebenarnya Miliki Kekayaan
Kredit: Kompas

Indonesia Sebenarnya Miliki Kekayaan Luar Biasa - Prabowo

Iqbal Yasir

Indonesia Sebenarnya Miliki Kekayaan Luar Biasa - Prabowo

JAKARTA -- Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan bahawa Indonesia sebenarnya memiliki kekayaan yang amat besar, lapor Kompas TV.

Bagaimanapun, cabaran utama yang dihadapi adalah keupayaan untuk memelihara serta mengurus kekayaan tersebut secara adil dan bertanggungjawab.

Perkara itu disampaikan oleh Prabowo ketika menyampaikan ucapan dalam majlis pengukuhan dan ta’aruf barisan kepimpinan Majlis Ulama Indonesia (MUI) bagi tempoh perkhidmatan 2025–2030 di Masjid Istiqlal, Jakarta, pada Sabtu.

"Yang Maha Berkuasa telah mengurniakan kepada Indonesia nikmat yang luar biasa. Tetapi persoalannya ialah, adakah kita mampu menjaga dan mengurus kekayaan itu," ujarnya.

Tambah Prabowo, beliau turut mengajak semua lapisan masyarakat khususnya para pemimpin, untuk bersatu dalam mempertahankan republik serta kekayaan negara.

"Kita mesti menjaga republik ini. Kita mesti menjaga kekayaan bangsa kita. Kita mesti berani membanteras rasuah dari bumi Indonesia. Ini bukan perkara yang mudah," tegasnya.

Banyak Hasil Dilarikan Ke Luar

Tambah Prabowo, beliau menegaskan komitmennya untuk menjaga dan melindungi seluruh kekayaan milik rakyat Indonesia yang selama ini didakwa banyak bocor dan dibawa ke luar negara.

Beliau menyatakan bahawa menjaga kekayaan negara merupakan tugas utama yang dipikulnya sejak menjawat jawatan sebagai presiden.

"Rupanya saya mendapati bahawa terlalu banyak kekayaan kita yang tidak berjaya kita pelihara, terlalu banyak kekayaan negara yang dicuri, terlalu banyak kekayaan Indonesia yang hilang dari tanah air kita, terlalu banyak kekayaan yang dibawa lari ke luar negara,” katanya lagi.

Beliau menyifatkan perkara ini sebagai satu masalah serius yang mesti dihadapi secara terbuka dan tegas.

"Saya dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melawan segala bentuk rasuah dan penyelewangan kekayaan rakyat Indonesia. Saya tidak akan berundur walau selangkah," tegasnya.

Menurut Prabowo, jika bangsa Indonesia berani dan mempunyai tekad yang kuat, kekayaan negara yang ada sebenarnya sudah lebih daripada mencukupi untuk memastikan seluruh rakyat hidup dalam keadaan sejahtera.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh bangsa untuk bersatu dan bertekad menghapuskan kemiskinan dari bumi Indonesia.