
Indonesia, Malaysia & Thailand Laksana Projek Infrastruktur Bernilai US$39 Bilion
Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT) menyokong pelaksanaan projek infrastruktur fizikal ekonomi yang dianggarkan bernilai hampir US$39 bilion, melibatkan ketiga-tiga negara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek-projek ini memberi tumpuan kepada aspek transformasi ekonomi, pelancongan, pertanian, sektor halal serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Terima kasih kepada Thailand kerana melaksanakan pelan tindakan dengan cepat. Beberapa projek di sempadan termasuk laluan ke Rantau Panjang dan jambatan sempadan Sungai Golok berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Rangka Kerjasama IMT-GT mengenai Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang berlangsung pada Selasa.
Tambah beliau, selain fokus kepada pembangunan ekonomi serantau, isu perubahan iklim yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan dan pendapatan rakyat turut menjadi keutamaan dalam kerangka kerjasama IMT-GT.
“Saya ucapkan terima kasih kepada menteri-menteri yang terlibat kerana buat persiapan rapi untuk sesi ini,” katanya.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Masato Kanda atas pelantikannya sebagai Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB) yang baharu pada Februari lalu.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan baharu ini akan dapat meningkatkan sokongan terhadap pelaksanaan kerjasama IMT-GT.
Datuk Seri Anwar turut menyatakan harapan agar agenda yang telah dirangka dapat diterima dan dilaksanakan dengan baik oleh semua pihak demi memastikan kejayaannya.
Dalam majlis yang sama, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, turut membuat satu pembentangan bertajuk “Memperkukuh Kerjasama Sub-Rantau bagi Menangani Cabaran Global”.
BACA: Kepengerusian ASEAN Malaysia Dipuji, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 Berakhir Dengan Gemilang
Sumber: Astro Awani