Gambar via Liputan6

Indonesia Larang “Selfie” Tanpa Pakai Pelitup Muka Di Kawasan Pelancongan

Sofea

Masyarakat di Indonesia dilaporkan telah dilarang berswafoto tanpa memakai pelitup muka. Perkara itu telah ditekankan oleh Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno dalam kenyataan media berkaitan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM).

Menurutnya percubaan dalam pelaksanaan pembukaan 20 tempat tarikan pelancong semasa PPKM tahap 3 dan 2 pada minggu lalu telah menunjukkan hasil yang positif. Namun, terdapat beberapa kelemahan berkaitan dengan protokol kesihatan dan salah satu darinya adalah swafoto.

“Ketika mengambil gambar, pelancong gemar untuk membuka pelitup muka walaupun kami sudah tetapkan tidak boleh,” katanya.

Dia juga memohon agar agar semua pelancong lebih berdisiplin dan memakai pelitup muka walaupun di tempat yang terbuka.

Selain itu, setakat ini tiada peraturan yang tertentu dikenakan kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan kerajaan berpandu kepada budi bicara pihak pengurusan tempat-tempat pelancongan.

“Selagi mereka ditemani oleh ibu bapa yang telah divaksinasi dan mengikut SOP yang telah ditetapkan, kami menyerahkan budi bicara kepada pengurusan tempat pelancongan,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan akan membuka lebih banyak lagi tempat pelancongan.

Dalam pada itu, dia juga menyentuh mengenai kelemahan sistem QR Code yang menyebabkan orang ramai terpaksa beratur dan berhimpit-himpit di antara satu sama lain.

Sumber: Liputan6