indonesia kembali bantuan beras uae
Gambar: Kompas.com

Indonesia Hantar Pulang 30 Tan Bantuan Beras Daripada UAE

Iqbal Yasir

Indonesia Hantar Pulang 30 Tan Bantuan Beras Daripada UAE

MEDAN — Sebanyak 30 tan bantuan beras daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mangsa banjir di kota Medan telah dihantar pulang, lapor Kompas.com

Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Bandar Medan, Rico Tri Putra Bayu Waas sewaktu ditemu bual oleh wartawan pada hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan pemulangan bantuan itu dibuat susulan Kerajaan Pusat belum membuat keputusan untuk menerima bantuan daripada pihak luar.

“Kami telah pulangkan kepada Emiriah Arab Bersatu,” katanya.

Difahamkan, langkah menghantar pulang bantuan itu dilakukan susulan teguran daripada Kerajaan Pusat dan Gabenor Sumatera Utara.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu berkenaan.

“Kami telah menyemak berkaitan peraturan dan prosedur penyampaian, kami berurusan dengan BNPB dan Kementerian Pertahanan, melalui koordinasi bersama semua pihak, bantuan ini tidak diterima,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Prabowo Subianto mengakui beliau telah dihubungi oleh ramai pemimpin negara yang ingin menghantar bantuan ke wilayah yang terjejas akibat bencana di Sumatera

Namun, Prabowo menyampaikan ucapan terima kasih dan memaklumkan kepada mereka bahawa Indonesia berkeupayaan menangani bencana di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

“Saya menerima banyak panggilan daripada para pemimpin dan ketua negara yang ingin menghantar bantuan.

“Terima kasih atas keprihatinan anda, kami mampu,” kata Prabowo dalam mesyuarat kabinet di Kompleks Istana Presiden.

Sebelum ini, Komuniti diaspora Indonesia meluahkan rasa kebimbangan terhadap polisi kerajaan yang mengenakan cukai ke atas bantuan bencana dari luar negara untuk mangsa banjir di Sumatera, lapor Tempo.

BACA: Bantuan Mangsa Banjir Ke Indonesia Dari Luar Dikenakan Cukai

BACA: Media Indonesia Jelaskan Mengapa Banjir Di Sumatera Lebih Parah Berbanding Negara Jiran

Sumber: Kompas.com