
Individu yang meminum kopi, sama ada dengan atau tanpa gula memiliki risiko kematian awal lebih rendah, meskipun pakar mengingatkan penemuan itu mungkin bukan disebabkan oleh minuman itu sendiri.
Menurut Persatuan Kopi UK, sebanyak 98 juta cawan kopi yang dianggarkan diminum setiap hari di UK manakala Persatuan Kopi Kebangsaan pula menyatakan sejumlah 517 juta cawan diminum di AS.
Kajian yang pernah dilakukan sebelum ini mendapati bahawa minuman itu mungkin dapat memberi manfaat kepada kesihatan penggunanya.
Hal ini kerana mereka didapati kurang berisiko untuk menghidapi penyakit hati kronik yang mampu menjurus ke arah kanser mahupun demensia.
Kini, penyelidik di China telah mendapati bahawa individu yang meminum kopi secara sederhana mempunyai risiko kematian lebih rendah dalam tujuh tahun berbanding mereka yang tidak.
Keputusan yang sama ditemui untuk kopi segera, yang dikisar dan tanpa kafein.
Kajian yang diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine itu adalah berdasarkan data daripada lebih 171,000 peserta UK BioBank.
Pengkaji telah mengumpulkan maklumat genetik, gaya hidup dan kesihatan daripada lebih 500,000 orang sejak kajian itu mula dilakukan pada 2006, termasuk butiran peserta yang memiliki tabiat minum kopi.
Pasukan itu menggunakan data seramai 3,177 orang yang telah meninggal dunia untuk tempoh tujuh tahun dari 2009.
Mereka mengambil kira butiran peserta dari segi umur, jantina, etnik, tahap pendidikan, status merokok, jumlah aktiviti fizikal, indeks jisim badan dan diet.
Hasil daripada itu, pasukan tersebut mendapat bahawa golongan yang meminum kopi tanpa gula memiliki kadar kematian yang rendah berbanding mereka yang tidak meminum kopi.
Risiko kematian 29% lebih rendah bagi mereka yang minum antara 2.5 dan 4.5 cawan sehari.
Risiko kematian yang lebih rendah juga dapat dilihat untuk kopi yang ditambah dengan gula, sekurang-kurangnya bagi mereka yang minum antara 1.5 dan 3.5 cawan sehari.
Namun, trend ini kurang jelas bagi mereka yang menggunakan pemanis tiruan.
Kebanyakan mereka yang menggunakan gula hanya menambah satu sudu ke dalam minuman mereka, bermakna tidak jelas sama ada keputusan yang sama dapat dicapai untuk kopi istimewa dengan kandungan gula yang tinggi.
Naveed Sattar, seorang profesor perubatan metabolik di Universiti Glasgow, memberi amaran bahawa meskipun kajian itu menarik, namun penemuan itu masih tidak jelas.
Sumber: The Guardian