GEORGE TOWN, 30 Julai (Bernama) — Kesemua individu di bawah pengawasan (PUS) yang berada di Pulau Pinang diingatkan supaya tidak berada di tempat awam dan mematuhi sepenuhnya syarat wajib kuarantin 14 hari selepas pulang dari luar negara.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow meminta golongan itu supaya tidak merosakkan apa yang telah dikecapi negara dalam membendung penularan pandemik COVID-19 hanya kerana pelanggaran syarat itu oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
“Jadi secara jelas sesiapa dengan tag PUS apabila didapati berada di tempat awam, di luar pusat kuarantin sama ada di hotel mahupun di rumah adalah melanggari undang-undang.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai gambar tular seorang wanita dilihat melanggar tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah dengan berada di luar sebuah bank di Jalan Ong Yi How, Butterworth semalam sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai.
Chow berkata syarat wajib kuarantin 14 hari itu amat penting untuk memastikan mana-mana PUS tidak membawa wabak COVID-19 dari luar negara ke tanah air dan ia adalah satu kaedah yang akan menjamin negara bebas daripada kes jangkitan yang dibawa dari luar.
Beliau berkata setakat minggu lepas, seramai 560 orang pulang ke negeri ini menerusi penerbangan antarabangsa dari Singapura, Medan dan Taipei.
“Mengikut maklumat masih ada penerbangan sedemikian dari tiga lokasi ini. Biasanya satu penerbangan ada 10 hingga 20 penumpang. Kita berharap semua protokol dipatuhi,” katanya.
Sumber: BERNAMA