India Rangkul Anugerah Pencapaian Cemerlang ISSA
KUALA LUMPUR, 3 Okt 2025 — India melakar sejarah apabila menerima Anugerah Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi Pencapaian Cemerlang dalam Keselamatan Sosial 2025.
Ia hasil kejayaan dalam meluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja sektor formal dan tidak formal.
Anugerah itu disampaikan oleh Presiden ISSA, Dr Mohammed Azman, pada majlis penutupan Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Dr Azman berkata, pencapaian India menjadi inspirasi global dalam menangani cabaran besar perlindungan sosial, khususnya melibatkan pekerja sektor tidak formal.
“Saya berbangga untuk menyampaikan Anugerah ISSA kepada Kerajaan India atas komitmen dan penggunaan teknologi inovatif dalam menyediakan keselamatan sosial serta perkhidmatan pekerjaan kepada pekerja sektor tidak formal.
“India telah menangani salah satu cabaran terbesar perlindungan sosial di dunia dan mencapai keputusan luar biasa dalam masa yang singkat,” katanya.
Portal eShram: Transformasi Perlindungan Sosial
Hampir 90 peratus daripada 550 juta pekerja India berkhidmat dalam sektor tidak formal. Bagi menutup jurang perlindungan sosial ini, Kementerian Buruh dan Pekerjaan India melancarkan portal eShram pada Ogos 2021.
Portal digital sehenti itu membolehkan pekerja berusia 16 hingga 59 tahun mendaftar untuk mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.
Ia termasuk skim pencen, manfaat kesihatan, perkhidmatan pekerjaan dan pembangunan kemahiran.
Sehingga kini, lebih 300 juta pekerja telah didaftarkan di portal tersebut, sekali gus memberi akses kepada 13 skim keselamatan sosial dan kebajikan serta tujuh skim pekerjaan.
WSSF 2025
Untuk makluman, WSSF 2025 yang berlangsung selama lima hari di Kuala Lumpur.
Ia menghimpunkan lebih 330 penceramah daripada seluruh dunia dengan 133 sesi perbincangan. WSSF ini menjadi medan perkongsian idea, inovasi dan masa depan keselamatan sosial.