India Dilanda Wabak Bakteria Kebal Antibiotik
Sebuah Hospital di India sedang bergelut dengan penularan wabak bakteria superbug dipercayai kalis antibiotik yang menyebabkan ruam.
Keadaan itu terjadi disebabkan oleh perubahan bakteria dari masa ke masa dan menjadi kebal terhadap ubat-ubatan yang sepatutnya merawat dan melawan bakteria tersebut.
Memetik Saudi Gazette, ketidakberkesanan antibiotik tersebut telah dikesan secara meluas apabila pesakit luar dari kampung dan pekan kecil hadir ke Hospital Kasturba di Maharashtra dengan simptom radang paru-paru dan jangkitan saluran kencing.
Bagaimanapun, pesakit-pesakit ini dilapor hadir tanpa membawa preskripsi dan tidak mengingati jenis ubat yang pernah diambil sekaligus menyukarkan doktor untuk mendapatkan rekod lampau terhadap rintangan antibiotik.
Doktor di hospital tersebut yang menjalankan ujian bagi mengenal pasti antibiotik mana yang paling berkesan terhadap lima jenis patogen utama mendapati, tiada satu pun yang benar-benar efektif.
Menurut Saudi Gazette, lima patogen tersebut termasuklah E.coli yang sering ditemukan dalam bahagian usus manusia dan haiwan sebaik sahaja mereka makan makanan yang tercemar.
Selain itu, pneumonia Klebsiella juga turut berada dalam senarai iaitu bakteria yang boleh menjangkiti paru-paru dan menyebabkan pneumonia, patogen ditemui dalam darah, bakteria yang ditemui pada luka dan lapisan otak yang boleh menyebabkan meningtis serta Staphylococcus aureus, bakteria bawaan makanan yang boleh disebarkan menerusia udara dan menyebabkan kematian.
Penyelidik itu mendapati keberkesanan antibiotik berkurangan 15 peratus untuk melawan bakteria-bakteria ini. Apa yang membimbangkan mereka adalah kemunculan patogen yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik, dikenali sebagai Acinetobacter baumannii. Patogen tersebut ditemui menyerang bahagian jantung pesakit hingga terpaksa dirawat di ICU.
Ketua Perubatan Hospital Kasturba, Dr SP Kalantri berkata, hampir semua pesakit mereka tidak mampu untuk membeli antibiotik yang lebih baik dan berdepan dengan risiko kematian yang tinggi disebabkan oleh radang paru-paru yang memerlukan bantuan ventilator di Unit Rawatan Rapi (ICU).
India dianggap sebagai salah sebuah negara paling teruk berdepan dengan situasi yang ahli perubatan panggil sebagai ‘kerintangan antimikrobial’ iaitu jangkitan neonatal kalis antibiotik yang menyebabkan kira-kira 60,000 bayi baru lahir meninggal dunia setiap tahun.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: Saudi Gazette