
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sebuah sindiket membekal dan membawa masuk tukang urut warga Thailand dalam satu siri operasi khas di sekitar Johor Bahru baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi bermula 21 hingga 23 Julai itu berjaya menahan dalang utama sindiket iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40an bersama 27 individu lain.
Jelas Khairul, pada awalnya pihaknya mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu oleh dalang utama du Taman Pelangi pada 21 Julai.
“Pasukan operasi telah mengekori dan menahan kenderaan tersebut untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati empat orang wanita Thailand berada di dalamnya bersama dalang terbabit.
“Kesemua wanita ini tidak memliliki pas yang sah semasa diperiksa dan mereka dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar pulang ke Thailand melalui jalan yang tidak sah. Kesemua mereka yang diperiksa ditahan bersama dalang sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, lanjutan tangkapan tersebut membawa kepada serbuan ke atas rumah kediaman dalang utama di sana.
Sejurus diserbu, beberapa dokumen berkaitan aktiviti sindiket membawa masuk serta membekalkan tukang urut asing ke pusat urut refleksologi dan spa di Johor Bahru dan sekitar kawasan selatan tanah air turut dirampas.
Ekoran itu, pasukan operasi JIM turut membuat dua lagi serbuan di premis pusat urut dan spa di Taman Austin dan Taman Abad di Johor Bahru yang disyaki ada kaitan dengan sindiket tersebut.
Hasil serbuan tersebut, seramai 18 wanita dan tiga lelaki warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut serta dua lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis berjaya ditahan.
Kesemua 28 individu yang ditahan terbabit berumur antara lingkungan 20 hingga 52 tahun.

“Modus operandi sindiket adalah dengan mengatur kemasukan dan membekalkan tukang urut warga Thailand untuk bekerja di pusat-pusat urut menggunakan Pas Lawatan Sosial di sekitar Johor dan negeri-negeri berhampiran.
“Sindiket mengunakan kenalan rapat yang berada di Thailand untuk mempengaruhi lelaki dan wanita asing dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai tukang urut di Malaysia.
“Risikan juga mendapati terdapat aktiviti yang tidak bermoral turut dijalankan oleh sindiket disebalik perkhidmatan tukang urut,” maklum Khairul dalam kenyataan tersebut.
Menurut Khairul, sindiket itu turut menjalankan aktiviti menghantar pulang mana-mana warga asing yang bermasalah atau warga tempatan yang ingin melepasi sempadan negara melalui laluan yang tidak sah.

“Siasatan awal mendapati, sindiket mengenakan bayaran antara RM1,300 hingga RM1,500 bagi setiap tukang urut yang diuruskan dan dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM30,000 sebulan.
“Manakala, majikan pusat-pusat urut yang terlibat disyaki mampu meraih pendapatan sehingga RM50,000 sebulan dengan menggajikan tukang urut haram,” tambahnya lagi.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika Johor Bahru untuk tindakan lanjut.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia