
ALOR SETAR, 5 Okt – Jabatan Imigresen Kedah menahan tiga wanita warga asing yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran melalui aplikasi WeChat selepas menggempur sebuah hotel bajet di Sungai Petani, malam tadi.
Pengarahnya, Zuhair Jamaludin berkata operasi yang disertai 10 anggota Imigresen yang bermula dari 11 malam hingga 12.30 tengah malam itu mendapati kegiatan tidak bermoral itu didalangi ‘ibu ayam’ yang bertanggungjawab untuk mengawal pergerakan dan urusan dengan pelanggan.
“Ketika serbuan, dua wanita Thailand serta seorang wanita Laos yang berumur antara 27 hingga 30 tahun itu sedang melayan pelanggan. Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mereka kini ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik.
Sumber: Bernama