Imej Pesawat Misteri ‘Terkandas’ Di Tengah Hutan Cetus Tanda Tanya
Pengguna aplikasi Google Maps terkejut apabila mengesan satu imej pesawat misteri yang didakwa ‘terkandas’ di tengah-tengah hutan hujan Australia baru-baru ini.
Memetik laporan Metro Uk, kapal terbang itu didakwa telah ‘terhempas’ di Banjaran Cardwell, yang terletak di antara Townsville dan Cairns.
Ia juga dilihat seolah-olah terletak di kawasan lapang di bawah rimbunan pokok.
Gambar: Mirror UkBagaimanapun, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia mengesahkan kepada media tempatan bahawa pihaknya tidak mengetahui sebarang kewujudan jet penumpang yang hilang di lokasi tersebut.
Apabila imej itu dibesarkan, pesawat itu dipercayai kelihatan seperti Airbus A320 atau Boeing 737.
Pegawai keselamatan pengangkutan Australia pula berkata bahawa ia berkemungkinan disebabkan satu gangguan dalam perisian Google.
“Nampaknya terdapat satu fenomena yang dipanggil sebagai imej ‘hantu’ dan mungkin perkara ini juga disebabkan fenomena tersebut,” katanya.
Gambar: Mirror UkSementara itu, Google setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan walaupun imej ‘hantu’ sememangnya muncul di Google Maps dari semasa ke semasa.
Kejadian hampir sama juga pernah dilaporkan berlaku pada tahun 2016 apabila pengguna mendakwa sebuah pesawat ‘terkandas’ di dasar Tasik Harriet di negeri Minnesota, Amerika Syarikat.
Tetapi Google kemudian mengesahkan bahawa ia adalah imej ‘hantu’
BACA: Juruterbang Didakwa Tertidur Ketika Nak Mendarat, Pesawat ‘Terlepas’ Landasan Terpaksa Patah Balik
Sumber: Metro Uk, NDTV