
Imej lohong hitam dalam Galaksi Bima Sakti didedahkan kepada umum buat pertama kali oleh sepasukan saintis antaranbangsa, pada Khamis.
Objek gergasi itu dikesan berada di tengah-tengah Galaksi Bima Sakti dan diberi nama Sagittarius A*.
Imej berkenaan yang diambil menggunakan Event Horizon Telescope (EHT), merupakan visual pengesahan langsung pertama yang membuktikan kewujudan objek itu dalam galaksi ini, 3 tahun selepas lohong hitam berjaya dirakam pertama kali tetapi berada di galaksi yang berbeza.
”Buat berdekad-dekad lamanya, kita mengetahui tentang kewujudan objek padat, 4 juta kali lebih besar daripada Matahari, di tengah-tengah Galaksi Bima Sakti.
”Hari ini, kami mempunyai bukti nyata bahawa objek padat ini sebenarnya adalah sebuah lohong hitam,” kata Sara Issaoun, seorang ahli astronomi dari Universiti Harvard dalam satu sidang media yang diadakan di Jerman.
Fenomena angkasa itu adalah satu kawasan atau objek di angkasa lepas yang mempunyai tarikan graviti yang sangat kuat sehinggakan tiada objek dapat melepaskan diri darinya, termasuklah cahaya.
Justeru, imej yang diambil bukanlah gambar imej lohong hitam itu sendiri, memandangkan ia bewarna hitam, sebaliknya apa yang berjaya dirakam adalah cahaya gas yang melingkari fenomena tersebut dalam bentuk cahaya melengkung.
Imej itu, ketika dilihat dari Bumi, ia seolah-olah seperti bentuk donut yang terletak di permukaan bulan.
Menurut saintis, kejayaan merakam imej berkenaan membantu pemahaman cendekiawan mengenai aktiviti yang berlaku di tengah-tengah Galaksi Bima Sakti.
Sumber: AFP