
Pada Sabtu ini, satu sejarah bakal terlakar di mana negara akan menyaksikan sebuah perubahan baharu yang berlaku dalam arena politik yang turut melibatkan seluruh masyarakat Malaysia.
Hari pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan perkara yang dinanti-nantikan oleh rakyat kerana ia hari yang membawa negara kepada perubahan sama ada ke arah yang lebih baik ataupun sebaliknya.
Oleh itu, semua diwajibkan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan hadir membuang undi di tempat yang ditetapkan.
PRU di negara ini dilakukan lima tahun sekali dan berkemungkinan, ramai yang tidak mengingati tatacara yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa hari pengundian.
Oleh hal yang demikian, ikuti satu video yang dikongsikan oleh SPR di laman Facebook bagi mengetahui cara-cara untuk membuang undi.

Menerusi video tersebut, penggundi perlu memasuki saluran dan pergi ke Kerani Pengundian (KP) 1 untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan seperti kad pengenalan bersama slip semakan atau tangkap layar MySPR.
KP 1 akan membuat semakan nama anda dalam daftar pemilih pilihan raya serta membuat perbandingan wajah penggundi dengan kad pengenalan. Setelah itu, penggundi diperlukan untuk menunjukkan kedua-dua belah tangan untuk diperiksa.
Selesai pemeriksaan tangan, KP 1 akan meneriakkan nombor kad pengenalan dan nama penggundi. Sila pastikan apa yang diteriakkan adalah betul.

Penggundi perlu pergi kehadapan KP 2 untuk tujuan mencelup telunjuk jari kiri ke dalam botol dakwat pilihan raya dan bergerak menuju ke KP3 untuk mengambil kertas undi.
Setelah mengambil kertas undi, penggundi diperlukan untuk bergerak ke meja Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk meletakkan telefon bimbit dalam bekas yang disediakan.

Kemudiannya, boleh bergerak ke petak undi untuk menandakan kertas undi. Penggundi hanya dibenarkan untuk memilih satu calon sahaja dan bergerak memasukkan undi ke peti undi.
Akhir sekali, penggundi perlu mengambil semula telefon bimbit di meja KTM dan segera tinggalkan saluran.
Untuk ketahui lebih lanjut, ikuti video yang disediakan di bawah ini.
Sumber: SPR via Facebook
BACA: Krisis Makanan ‘Serang’ Mengejut, Adakah Malaysia Turut Terjerumus?
BACA JUGA: Tidak Dibenar Bawa Telefon, Ikuti 10 Langkah Ini Semasa Mengundi