
IKONDESA: INISIATIF GAME CHANGER KKDW MEMPERLUAS AKSES PRODUK DESA KE BANDAR
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hari ini telah melancarkan IKONDESA@Putrajaya, yang bakal menjadi pemangkin transformasi pasaran produk desa ke peringkat lebih berdaya saing. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
IKONDESA diwujudkan sebagai platform akses pasaran strategik melalui penubuhan pusat jualan fizikal di pusat bandar. Ia berfungsi sebagai hab pemasaran dan jualan bagi produk desa keluaran usahawan di bawah bimbingan KKDW dan agensi. Pusat ini mengetengahkan konsep baharu dengan menampilkan produk desa dalam suasana moden dan eksklusif, sekali gus mengangkat imej produk tempatan ke tahap yang setanding dengan jenama arus perdana di pasaran global.
IKONDESA@Putrajaya merupakan pusat jualan pertama yang telah beroperasi sejak 15 September 2025, bertempat di Lot C-006 dan C-007, Souq Putrajaya, Presint 1 IKONDESA@Putrajaya. Dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam, pusat ini menawarkan pengalaman belian produk desa kepada masyarakat bandar.
Mengadaptasi konsep jualan hibrid, IKONDESA@Putrajaya menggabungkan suasana elemen mini kafe dengan pameran produk desa eksklusif meliputi seni kraf tangan, tekstil, makanan serta minuman. Perkhidmatan tempahan khas seperti cenderamata korporat dan kraf tangan secara pukal turut ditawarkan bagi memenuhi permintaan individu, syarikat swasta, institusi dan agensi kerajaan.
Pada fasa awal, seramai 30 usahawan desa telah ditempatkan di pusat ini. Sepanjang September hingga Disember 2025, empat siri promosi bertema negeri akan dianjurkan bagi memperkukuh jenama produk desa di pasaran dan menarik lebih ramai pelanggan.
Bagi memastikan kecekapan pengurusan yang teratur dan sistematik, RISDA Agri Food Industries Sdn. Bhd. (RAFI) dilantik sebagai operator rasmi IKONDESA@Putrajaya, merangkumi aspek pentadbiran, promosi serta pembangunan keusahawanan. pemasaran serta pengurusan usahawan. Dengan pelaksanaan inisiatif ini, IKONDESA yang merupakan game changer KKDW bukan sahaja mampu memperluas capaian produk desa ke pasaran global, tetapi juga mengangkat taraf hidup komuniti desa selaras dengan agenda Malaysia MADANI.
KEMENTERIAN KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH
24 SEPTEMBER 2025