Gambar via Mirror

Ibu Will Smith Mengaku Pertama Kali Seumur Hidup Lihat Anak Hilang Sabar

Eyla Azri

Ibu kepada selebriti terkenal Hollywood, Will Smith mengaku terkejut dengan kelakuan anaknya di anugerah Oscars baru-baru ini.

Lapor Mirror, Carolyn Smith berkata bahawa dia tidak pernah melihat anaknya berkelakuan begitu sepanjang hidupnya.

“Dia (Will) adalah seorang yang lembut dan ramah.

“Itulah kali pertama saya melihat dia hilang sabar.

“Pertama kali seumur hidupnya, saya tidak pernah lihat dia melakukannya sebelum ini,” kata Carolyn kepada saluran berita Philadelphia.

Bercakap mengenai anugerah Will malam itu, Carolyn menzahirkan rasa bangga atas pencapaian anaknya yang telah membanting tulang selama bertahun-tahun.

“Saya tahu bagaimana dia bekerja, betapa kuatnya dia bekerja.

“Saya terus menunggu, bila saya dengar namanya, saya cuma mengucapkan, ‘Ya!’,” ujar Carolyn dengan rasa bangga.

Sebelumnya, Will sempat terpalit kontroversi apabila pelakon tersebut bertindak menampar pelawak popular, Chris Rock pada malam anugerah berprestij, Oscars Ahad lalu.

Chris dikatakan berjenaka mengenai imej botak isteri Will, Jada Pinkett Smith yang jelas kurang disenangi pasangan Hollywood itu.

Pelawak tersebut bertindak menyamakan Jada dengan watak G. I Jane lakonan Demi Moore yang juga mencukur kepalanya untuk watak berkenaan.

Jada yang menghidap alopecia berasa tersinggung dengan jenaka Chris, menyebabkan si suami tidak menunggu lama lalu menampar wajah Chris di hadapan umum.

Pun begitu, Will telahpun meminta maaf secara terbuka kepada pelawak berkenaan atas tindakannya yang keterlaluan.

“Kekerasan dalam apa jua bentuk sekali pun adalah tidak baik dan mampu menghancurkan.

“Kelakuan saya pada malam Anugerah Akademi (Oscars) tidak patut diterima dan tidak boleh dimaafkan,” kata Will dalam satu kenyataan.

Ujar bintang Hollywood berkenaan, sukar untuk dia menerima jenaka berkait keadaan isterinya, namun pada masa yang sama menyesal atas perbuatannya terhadap Chris.

“Jenaka bagi saya adalah sebahagian daripada kerja, namun melawak tentang keadaan kesihatan Jada bagi saya sangat keterlaluan dan saya bertindak mengikut emosi.

“Saya meminta maaf secara terbuka kepada anda, Chris.

“Saya melebihi batas dan saya mengaku salah,” jelas Will turut meminta maaf kepada pihak Oscars.

Will berkata, dia turut malu akan tindakannya di malam anugerah itu dan mencuba untuk memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa.

“Saya minta maaf kepada pihak Akademi, penerbit rancangan, tetamu-tetamu yang hadir dan semua yang menonton dari seluruh dunia.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada keluarga Williams dan keluarga King Richard saya.

“Saya sangat menyesal dengan perbuatan saya yang telah merosakkan momen bermakna kepada kita semua,” katanya.

Sumber: Mirror