PERMAISURI, 18 Dis (Bernama) — Seorang wanita hamil yang menanti saat melahirkan anak terpaksa meredah banjir setinggi paras pinggang sejauh 50 meter, untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Permaisuri setelah kawasan rumahnya di Kampung Padang di sini, dinaiki air pagi tadi.
Malah, Nor Hazwani Ghazali, 30, yang sarat mengandung 37 minggu itu terpaksa bersusah payah menaiki bot fiber, kereta pacuan empat roda dan ambulans yang kesemuanya milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum sampai ke klinik kesihatan yang terletak kira-kira lapan kilometer dari rumahnya, kerana mengalami masalah kesihatan seperti demam dan pening kepala.
“Apabila saya bangun pagi tadi rasa tidak sihat mungkin sebab darah tinggi tetapi banjir pula. Jadi saya hubungi jururawat di klinik kesihatan dan jururawat tersebut berkata beliau akan menghubungi anggota penyelamat. Beliau juga menyuruh saya siapkan barang-barang kerana kemungkinan besar saya akan ditahan di hospital beberapa hari.
“Bot fiber tidak dapat masuk ke kawasan rumah dan hanya menunggu di seberang jalan jadi saya terpaksa berjalan kaki meredah banjir dengan berhati-hati kerana risau terjatuh. Selepas itu bersilih ganti pula menaiki bot fiber, pacuan empat roda dan ambulans kerana beberapa jalan ditenggelami air,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi banjir di Kampung Besut di sini hari ini.
Suri rumah yang akan melahirkan anak ketiga itu berkata beliau bersyukur dan sangat terharu melihatkan kesungguhan anggota APM yang tertungkus lumus membantunya demi memastikan beliau tiba di klinik kesihatan dengan selamat.
“Ketika kejadian suami pula ada urusan di Kuala Terengganu jadi memang terpaksa bergantung harap kepada anggota penyelamat. Mujurlah emak saya menjaga dua lagi anak saya.
“Saya diberitahu anggota APM bahawa saya perlu ke klinik kesihatan terlebih dahulu untuk pemeriksaan dan selepas itu ambulans mereka (APM) akan membawa saya ke Hospital Setiu pula,” katanya.
Nor Hazwani yang tinggal di Paka, Dungun pulang ke kampung sejak bulan lepas kerana ingin bersalin dan berpantang di samping ibunya, Normah Idris, 52.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Padang Wan Siti Zaharah Wan Ibrahim, 30, berkata walaupun halaman rumahnya telah ditenggelami air sejak semalam namun beliau memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kampung tersebut kerana anak keduanya, Aqqif Iqram Mohd Nasir, 9, baru sahaja bersunat tiga hari lepas.
“Rumah saya tinggi. Selalunya apabila bahagian dapur yang agak rendah dinaiki air barulah kami sekeluarga pindah. Lagipun kesian anak baru bersunat mesti dia tidak selesa berada di PPS.
“Lagipun saya sudah beli barang keperluan dan makanan secukupnya kerana mengetahui setiap kali musim tengkujuh laluan masuk ke rumah akan ditenggelami air. Jadi, kami sekeluarga hanya akan tinggal di dalam rumah sahaja dan tidak dapat pergi ke mana-mana,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu berkata ini merupakan kali kelima kawasan rumahnya dilanda banjir pada musim tengkujuh tahun ini.
Sumber: BERNAMA