
Ibu Pelakon Zul Huzaimy Meninggal Dunia
Ibu kepada pelakon dan pengarah terkenal, Zul Huzaimy, dilaporkan telah meninggal dunia pada Selasa, 4 November 2025.
Berita duka itu dikongsi oleh isteri beliau, Nur Ernawati Mohamad, menerusi satu hantaran di Instagram yang memaklumkan pemergian ibu mentuanya itu.
Dalam perkongsian tersebut, Ernawati menzahirkan rasa syukur kerana urusan pemergian ibu mentuanya dipermudahkan, selain menggambarkan arwah sebagai seorang insan yang sangat baik, penyayang dan berhati mulia.
“Pergi dunia mana sekalipun, aku takkan dapat mak macam ni. Mak tak pernah bagi Na rasa yang Na ni menantu. Macam mana mak layan anak mak, macam tu jugalah mak layan Na.
“Maklah contoh mak mentua paling ikhlas dalam dunia. Terima kasih Allah pinjamkan mak, terima kasih mak didik akhlak anak mak, rezeki Na dapat suami macam Angah,” tulis Ernawati.
Tambahnya lagi, arwah ibu mentuanya merupakan teman setia ibunya dalam pelbagai urusan dan kini telah ‘pergi’ ke tempat yang lebih indah.
“Mak lah satu-satunya peneman mama selama ni, teman bercuti. Kali ni mak pergi dulu ke tempat paling indah, kalah semua tempat yang kita pernah pergi sama mak.
“Semoga mak tenang di dunia baru, semoga syurga tempatmu mak. Alhamdulillah, urusan pemergian mak dipermudahkan semuanya. Cantik mak pergi lepas solat hajat dan tahlil kami adik-beradik,” tulisnya lagi.
Dalam hantaran sama, Ernawati turut memohon doa agar Allah mengampunkan dosa arwah dan memberi kekuatan kepada seluruh keluarga untuk menghadapi kehilangan tersebut.
“Ya Allah Ya Tuhanku, Kau ampunilah segala dosanya, kasihani dan sejahterakan dia, maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya, lapangkanlah kuburnya dengan rahmat-Mu.
“Kau berikanlah kami sekeluarga kekuatan dalam menghadapi dugaan ini Ya Allah. Amin,” ujarnya.
Menerusi Instagram Story, Zul Huzaimy turut berkongsi berita pemergian ibunya dengan coretan ringkas, “Selamat berehat, mak”.
Kami menzahirkan ucapan takziah kepada Zul Huzaimy dan seluruh ahli keluarga atas pemergian insan tersayang.
Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.
BACA: Bapa Heliza, Hazwani Terlibat Kemalangan Motosikal
Sumber: Astro Gempak