
Lima hari berlalu, namun keluarga Siti Surya, 19, masih belum mampu mempunyai kekuatan untuk menceritakan kejadian sebenar yang menimpa Allahyarham kepada ibunya, Zaini Muda, 54.
Memetik laporan Sinar Harian, bapa arwah, Ismail Muda, 58, bekata, beliau tidak sanggup memberitahu isterinya bahawa Siti Surya meninggal akibat dibunuh di rumah mereka.
Ketika ditanya ke mana Allahyarham pergi, sebaliknya dia memberi alasan bahawa arwah meninggal dunia kerana demam panas.
“Memang isteri melihat jenazah arwah buat kali terakhir sebelum dikebumikan tetapi disebabkan faktor kesihatannya, dia cepat lupa dan selalu bertanya di mana kakak (arwah).
“Jadi, setiap kali ditanya, saya akan beritahu kakak sudah meninggal di hospital sebab demam panas.
“Saya tidak sanggup cerita hal sebenar kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman keluarganya di Kampung Beladau Kepong, Hulu Terengganu.
Malah, menurut laporan Sinar, Ismail berkata, sehingga hari ini isterinya sering kelihatan tercari-cari Allahyarham yang sentiasa berada di sampingnya sebelum ini.
Dalam kejadian Ahad lepas, Siti Nur Surya, 19, yang menjaga ibunya yang terlantar akibat sakit kanser otak tahap tiga, ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumahnya dengan pergelangan tangan kirinya putus dan kesan kecederaan lain pada bahagian muka serta badan.
Mayat mangsa ditemukan adik perempuannya yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah kira-kira jam 2.30 petang.
Mangsa dipercayai dibunuh hasil penahanan seorang remaja yang merupakan rakan sebaya mangsa selepas dia hadir bersama ibunya ke Balai Polis Hulu Terengganu pada keesokan hari selepas kejadian.
Sumber: Sinar Harian