Seorang ibu telah dituduh melakukan pembunuhan setelah didapati menyebabkan kematian anak perempuannya yang berusia tiga tahun. Dia dipercayai meletakkan anaknya di balkoni sebagai hukuman kerana menangis sebelum mangsa terjatuh ke bawah.
Wanita itu didakwa melakukan perkara tersebut di bandar Saratov di Rusia.
Menerusi satu rakaman CCTV, anaknya didengari merintih kepada ibunya kerana ketakutan sebelum terjatuh hingga mati. Rakaman itu juga menjadi bahan bukti yang memaparkan detik-detik terakhir kanak-kanak itu.
Tidak cuma itu, tindak tanduk wanita yang berusia 23 tahun itu juga dapat dilihat menerusi rakaman CCTV di dalam lif yang memaparkannya sedang membawa mayat anaknya itu.
Menurut Daily Star, dia hanya memegang baju anaknya semasa berada di tepi balkoni itu, baju itu didapati terkoyak dan menyebabkan anaknya terjatuh.
Seorang pejalan kaki yang berada berhampiran kawasan perumahan di situ mengatakan bahawa dia mendengar jeritan nyaring kanak-kanak dari tingkat atas.
“Ketika saya berpusing, saya melihat seorang anak kecil berlumuran darah terbaring di atas jalan tar. Saya terkejut dan terus menghubungi ambulans,” katanya.
Suspek telah ditahan kerana disyaki membunuh dan bakal menghadapi hukuman penjara hingga 21 tahun jika disabit melakukan kesalahan.
Sumber: Daily Star