
Ibu, Bapa Tiri Dilepas Tanpa Dibebaskan Tuduhan Cuai Hingga Sebabkan Kecederaan Anak
JOHOR BAHRU, 7 Jun (Bernama) — Mahkamah Sesyen di sini hari ni melepas tanpa membebaskan sepasang suami isteri daripada pertuduhan cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak lelaki berusia empat tahun.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat elemen penduaan dalam pertuduhan pindaan yang dikemukakan pihak pendakwaan hari ini terhadap ibu kandung kanak-kanak berkenaan dan lelaki itu yang merupakan bapa tiri.
Pada 3 Mei lepas, pasangan itu masing-masing berusia 23 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan dengan niat bersama menganiaya kanak-kanak itu yang berada di bawah pemeliharaan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Mahkamah menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman, bagaimanapun pihak pendakwaan meminda pertuduhan itu.
Mengikut kertas pertuduhan pindaan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama bertindak secara cuai terhadap kanak-kanak itu yang berada di bawah pemeliharaan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah apartmen di Jalan Aman, Taman Skudai Baru, dekat sini, pada 12.30 tengah malam 28 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Sebelum itu, kedua-dua tertuduh menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadap mereka.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Idayu Salim dan Umar Faiz Abdul Kohar manakala pasangan itu diwakili peguam Tuan Nur Izza Natasha Tuan Rosidi.
Pihak pendakwaan dijangka membuat pertuduhan semula ke atas kedua-dua tertuduh.
Sumber: BERNAMA
BACA: Sepasang Suami Isteri Ditahan Dera Anak Asuhan Sehingga Mati