
Ibu Bapa “’Overprotective” Berisiko Pendekkan Jangka Hayat Anak – Kajian
Sebuah kajian mendapati kanak-kanak yang memiliki ibu bapa yang ‘overprotective’ cenderung untuk memiliki jangka hayat yang lebih pendek.
Menurut data English Longitudinal Study of Aging, risiko lelaki yang tidak memiliki kebebasan ketika membesar untuk meninggal dunia sebelum usia 80 tahun meningkat 12 peratus.
Manakala risiko untuk wanita yang membesar dengan ibubapa ‘overprotective’ untuk meninggal dunia sebelum usia yang sama meningkat sebanyak 22 peratus.
Lebih menarik, risiko untuk wanita yang dibesarkan dengan baik oleh ibu untuk meninggal dunia sebelum usia 80 tahun berkurang sebanyak 14 peratus.
Manakala bagi lelaki yang membesar dengan salah seorang ibu atau bapa, risiko untuk mereka meninggal dunia sebelum usia 80 tahun adalah 179 peratus lebih tinggi.
Data kajian berkenaan diterbitkan dalam jurnal Scientific Report baru-baru ini, lapor New York Post. Ia merupakan hasil kajian penyelidik di Federal University of São Carlos, Brazil dan University College of London.
Ibu bapa overprotective cenderung pendekkan jangka hayat anak

Bagi memperoleh hasil dapatan tersebut, penyelidik telah menganalisis data daripada 941 responden mengikut julat usia.
Ia melibat seramai 445 wanita dan 496 lelaki yang lahir sekitar 1950 hingga 1960-an dan meninggal dunia antara 2007 sehingga 2018.
“Perkara yang paling menarik mengenai kajian adalah, kami dapat mempersembahkan perdebatan berkenaan hasil didikan ibu bapa selama bertahun-tahun menerusi angka.
“Hubungan yang memiliki sifat ambil berat dan kasih sayang bersama ibu bapa semasa zaman kanak-kanak dapat memberi impak kepada kehidupan anda, sepanjang hayat.
“Secara spesifiknya, hasil dapatan kami menunjukkan bagaimana ia mempengaruhi jangka hayat seseorang individu,” kata profesor di Federal University of São Carlos, Tiago da Silva Alexandre. Tiago merupakan salah seorang penulis kajian tersebut.
Antara yang dikaji dalam soal selidik tersebut adalah struktur keluarga, pekerjaan ketua keluarga dan hubungan responden bersama ibu pada ketika masa kecil dahulu.
Ia termasuk bagaimana ibu bapa mengambil berat dan melindungi mereka.
Mereka melihat perkaitan antara kategori-kategori tersebut untuk meramal kesan hubungan keibubapaan terhadap jangka hayat manusia.
Pengarang turut menekankan bahawa kajian tersebut difokuskan terhdap golongan ‘baby boomers’.
Namun, mereka menjangka hasil dapatan kajian tersebut akan tidak mengalami sebarang perbezaan signifikan, jika dijalankan ke atas generasi yang berbeza.
“Anak-anak memerlukan jagaan dan sokongan dari ibu bapa. Perkara sebaliknya mampu memberi kesan negatif terhadap sifat autonomi mereka.
“Kajian dalam psikologi menunjukkan perhubungan jenis ini merupakan jenis yang lemah. Hal ini kerana, kanak-kanak akan menjadi terlalu takut kepada ibu bapa dan membawa kepada beberapa masalah, termasuklah gaya hidup tidap sihat,” kata pengarang bersama, Aline Fernanda de Souza Canelada.
Katanya, ini dibuktikan melalui sokongan dari beberapa kajian yang menunjukkan peningkatan risiko untuk pengambilan alkohol dan penyalahgunaan dadah.
Selain gaya hidup tidak sihat, sifat mengongkong ini turut memberikan masalah dari segi kesihatan mental seperti tekanan, kemurungan dan sebagainya dan ia berkait rapat dengan jangka hidup manusia.
BACA: Luluh Hati Bapa, Pegang Tangan Anak Maut Dalam Runtuhan
Sumber: NY Post