Hyundai Catat Pendapatan Suku Tahunan Tertinggi Dalam Sejarah, Tapi Untung Bersih Menurun 22%
SEOUL, 24 Julai 2025 – Syarikat Hyundai Motor hari ini umumkan prestasi kewangannya bagi suku kedua tahun 2025 – dengan rekod pendapatan tertinggi pernah dicapai dalam tempoh suku tahunan.
Menurut kenyataan rasmi, pendapatan Hyundai bagi April hingga Jun meningkat sebanyak 7.3% tahun ke tahun kepada KRW 48.29 trilion, iaitu sekitar RM170 bilion, menjadikan ia pendapatan tertinggi syarikat dalam satu suku tahunan.
Namun begitu, keuntungan operasi menyusut sebanyak 15.8% kepada KRW 3.6 trilion, dengan margin keuntungan operasi sebanyak 7.5%. Penurunan ini dipengaruhi oleh persaingan industri yang semakin sengit serta faktor persekitaran perdagangan global yang mencabar.
Lebih mengejutkan, untung bersih termasuk kepentingan minoriti merosot sebanyak 22.1%, mencatat hanya KRW 3.25 trilion bagi tempoh tersebut.
Jualan Global Naik Sedikit, SUV Masih Jadi Tarikan
Secara keseluruhan, Hyundai berjaya menjual 1,065,836 unit kenderaan di seluruh dunia dalam tempoh tiga bulan tersebut – peningkatan 0.8% berbanding tahun lalu.
Permintaan kukuh dari Amerika Utara menyumbang kepada pertumbuhan ini, dengan peningkatan 3.3%. Model popular seperti TUCSON, SANTA FE dan ELANTRA (Avante) kekal menjadi pilihan utama pengguna.
Di Korea Selatan sendiri, jualan meningkat 1.5% kepada 188,540 unit, didorong pelancaran model baharu seperti PALISADE dan IONIQ 9 SUV.
Kereta Elektrik & Hibrid Meletup, Jualan Naik 36.4%
Segmen kenderaan mesra alam Hyundai terus mencatat pertumbuhan hebat, apabila jualan global untuk model elektrifikasi melonjak 36.4% kepada 262,126 unit.
Paling memberangsangkan, model hibrid sahaja mencatat jualan tertinggi dalam sejarah syarikat iaitu 168,703 unit, iaitu peningkatan 38.5%. Permintaan di Eropah untuk kenderaan elektrik (EV) turut membantu lonjakan ini.
Dividen RM8 Per Saham, Fokus Terus Pada Daya Saing
Hyundai turut mengumumkan pembayaran dividen suku tahunan sebanyak KRW 2,500 sesaham, selaras dengan komitmen mereka untuk membayar sekurang-kurangnya 25% daripada untung bersih terkonsolidasi.
Walaupun pasaran global tidak menentu dan ekonomi negara membangun perlahan, Hyundai tetap optimis mengekalkan momentum pertumbuhan dan bersedia menyesuaikan hala tuju mengikut keadaan pasaran semasa.