PUTRAJAYA, 21 Sept (Bernama) — Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan kepada seorang bekas guru kaunseling sebuah sekolah menengah, kerana menyokong dan memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh pada 2016.
Rayuan Razis Awang terhadap penghakiman dan hukuman penjara yang dikenakan kepadanya itu ditolak oleh panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Sam, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan.
Hakim Yaacob yang mempengerusikan panel itu turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara yang dijatuhkan kepada Razis.
Dalam keputusannya itu, Hakim Yaacob menyatakan yang penghakiman terhadap dua kesalahan itu tidak silap untuk dikekalkan.
Pada 17 Dis 2018, Mahkamah Tinggi menjatukan hukuman penjara tujuh tahun kepada Razis, selepas mendapati beliau bersalah atas pertuduhan pertama memberikan sokongan secara ‘baiah’ kepada kumpulan penganas Daesh, di mana beliau telah menggunakan nama Razis di dalam aplikasi Telegram ‘gagak hitam’.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Lorong Senangin 2/3, Taman Senangin, Kulim Kedah pada 8.11 pagi pada 30 Mac 2016.
Razis, 34, juga dikenakan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi untuk pertuduhan kedua iaitu memiliki enam gambar berkaitan dengan kumpulan pengganas itu pada telefon bimbitnya dan tiga gambar pada komputer riba di tempat yang sama pada 7.20 malam pada 28 Sept 2016.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah telah mengarahkan hukuman itu dijalankan secara serentak.
Razis diwakili peguam Syahredzan Johan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham mewakili untuk pihak pendakwaan.
— BERNAMA