
Hujan Lebat: Wanita Berdepan Detik Cemas, Kereta Dihempap Pokok
SHAH ALAM, 23 Jan (Bernama) — Seorang wanita berdepan detik cemas apabila sebatang pokok di Batu Nilam 34, Bukit Tinggi di Klang menghempap kenderaannya dalam kejadian ketika hujan lebat petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata bagaimanapun, wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar dari kereta itu sebelum bomba tiba di lokasi kejadian.
Terdahulu, pihaknya menggerakkan enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang setelah mendapat panggilan daripada orang awam pada 4.49 petang.
“Setibanya di lokasi, sebatang pokok telah menghempap kira-kira empat kenderaan di sekitar kawasan itu termasuk kenderaan mangsa dan kerja-kerja mengalihkan pokok selesai pada 6.22 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan merompak seorang wanita di jejantas Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, dua minggu lepas.
Tertuduh, 23, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Urdu di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu ke atas seorang wanita berusia 29 tahun dan meletakkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan dengan mengacukan sebilah pisau di jejantas berkenaan pada 12.45 tengah malam 14 Jan lepas.
Sumber: BERNAMA