
Hujan Lebat, Ribut Petir Di 10 Negeri Hingga Malam Ini
Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dijangka akan melanda 10 negeri dan dua Wilayah Persekutuan hingga jam 7 malam ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan lebat dijangka akan melanda seluruh negeri Pulau Pinang, Terengganu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi negeri Kedah, hujan diramal berlaku di daerah Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Manakala, di Perak pula melibatkan daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah dan Kampar).
Di Pantai Timur, keadaan cuaca buruk berlaku di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan.
Ia juga melibatkan negeri Pahang iaitu di daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Kuantan.
Beralih ke Selangor, daerah yang terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Di negeri Johor pula, hanya beberapa daerah yang terlibat iaitu Batu Pahat, Kluang dan Pontian.
“Selain itu, di Sarawak pula melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu, Miri dan Limbang.
“Manakala, cuaca buruk juga berlaku di daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar) di Sabah,” kata MetMalaysia menerusi kenyataan di Facebook.
Menurutnya lagi, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujarnya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan tidak berada di kawasan yang berisiko.
Jika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, pandu kereta dan bawa motosikal dengan berhati-hati.