
Hujan Lebat Diramal Landa 7 Negeri, 2 Wilayah Hingga Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan 7 negeri dan 2 Wilayah Persekutuan (WP) bakal dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 7 malam nanti.
Menerusi amaran yang dimuat naik di Facebook, seluruh negeri Terengganu serta WP Kuala Lumpur dan WP Labuan dijangka hujan lebat.
Di Kedah, hampir keseluruhan negeri bakal menerima hujan lebat. Antara daerah yang terlibat ialah Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling dan Kulim.
Manakala di Selangor, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat hanya melibatkan daerah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Melihat keadaan di pantai timur, hampir keseluruhan negeri Pahang juga bakal dibadai angin kencang dan hujan lebat. Daerah yang terlibat ialah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Bentong, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.
Terus ke Johor, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan hujan lebat bagi daerah Mersing dan Kota Tinggi sahaja.
Di Sarawak, daerah Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang bakal menerima hujan lebat. Manakala di Sabah, hanya daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort) dijangka mengalami cuaca buruk.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Berikutan itu, orang awam dinasihati berjaga-jaga ketika di luar dan elak dari berada di lokasi berisiko ketika cuaca buruk.
Sebagai maklumat, pihak MetMalaysia turut mengeluarkan makluman pelaksanaan ujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) di Dewan PDT, Tanjung Piandang, Perak. Pengujian tersebut bakal dijalankan pada 10 pagi hingga 1 petang, Rabu.
“Penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan agar tidak panik dengan bunyi siren tersebut kerana ia merupakan suatu UJIAN sahaja. MetMalaysia akan memaklumkan jika terdapat sebarang pindaan,” ujarnya.
BACA: Penyaluran Segera RM150 Juta Langkah Responsif Kerajaan Tangani Banjir Kilat