hujan lebat
Gambar: ImageFX

Hujan Lebat Di 9 Negeri Malam Ini

Sofea

Hujan Lebat Di 9 Negeri Malam Ini

Amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang telah dikeluarkan di sembilan negeri sehingga jam 9 malam ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), amaran tersebut melibatkan seluruh negeri Perlis.

Selain itu, di Kedah pula, daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang dan Sik diramal turut terlibat.

Bagi negeri Perak, ia membabitkan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Manakala di Kelantan, amaran hanya melibatkan daerah Gua Musang.

"Di Pahang, hujan lebat akan berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Temerloh, Maran, Bera dan Rompin," kata MetMalaysia.

Sementara itu, hujan turut dijangka berlaku di Negeri Sembilan iaitu di daerah Jelebu dan Jempol.

Keadaan cuaca itu juga akan dialami oleh penduduk di Johor, khususnya di kawasan Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Beralih ke borneo, hujan dijangka berlaku di Sarawak iaitu di Kapit (Kapit, Bukit Mabong dan Belaga), Bintulu (Tatau) dan Miri (Telang Usan).

Manakala, di Sabah pula hanya membabitkan Pedalaman (Nabawan).

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," kata MetMalaysia.