
Hujan Lebat Di 6 Negeri, 1 Wilayah Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dijangka akan melanda enam negeri dan satu Wilayah Persekutuan sehingga jam 9 malam ini.
Menerusi kenyataan di Facebook, jabatan itu berkata keadaan cuaca terbabit akan melanda negeri Perak iaitu di Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta.
Selain itu, di Kelantan pula hanya melibatkan daerah Gua Musang. Manakala Terengganu hanya di Dungun dan Kemaman.
Bagi negeri Pahang, ia melibatkan daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan.
Beralih ke Sarawak, daerah Kuching (Lundu), Sibu (Selangau), Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu (Tatau), Miri (Beluru, Telang Usan, Miri dan Marudi) dan Limbang dijangka terlibat.
Di Sabah pula, hujan lebat diramal akan melanda daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat).
Keadaan cuaca itu juga akan melanda seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia.