Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang diramal akan berlaku di empat negeri sehingga jam 9 malam ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan lebat akan berlaku di Kedah iaitu di daerah Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Selain itu, bagi negeri Perak, ia melibatkan daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar.
Amaran turut membabitkan negeri Pahang iaitu di Tanah Tinggi Cameron, Maran dan Bera.
Hujan lebat juga melibatkan Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di negeri Johor.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," kata MetMalaysia