
Hujan Lebat Berterusan, Beberapa Kawasan Di Terengganu Dilanda Banjir
Beberapa kawasan di negeri Terengganu dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan yang berlaku pada hari ini.
Menerusi perkongsian pengguna media sosial di Facebook, banjir dikatakan berlaku di kawasan Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu memakumk hujan di sekitar Kuala Terengganu menunjukkan trend peningkatan ketara dan berpanjangan.
Menurut jabatan itu di Facebook, Stesen Hujan Tok Adis telah merekodkan jumlah hujan sebanyak 269mm bermula jam 12.00 tengah malam tadi.
“Aras air di Pintu Air Tok Adis kini berada pada 1.5 meter, masih di bawah had operasi maksimum 2.2 meter. Semua pintu air kekal dibuka dan aliran keluar ke Sungai Ibai masih lancar.
“Walau bagaimanapun, penutupan pintu air akan dipertimbangkan sekiranya paras Sungai Ibai meningkat berikutan fenomena air pasang yang dijangka bermula sekitar jam 4.00 petang ini,” katanya.
Tambah jabatan itu lagi, hujan berterusan telah menyebabkan sistem saliran utama termasuk saliran Anak Ibai, saliran Sekitar SMK Dato’ Razali dan saliran Padang Negara hampir mencapai kapasiti maksimum, dengan keadaan tanah yang semakin tepu.
R”isiko banjir kekal tinggi, khususnya di kawasan hot spot, sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh 1 hingga 2 jam dan bertembung dengan fenomena air pasang yang dijangka memuncak tengah malam ini (2.7m CD),” ujarnya lagi.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia telah mengeluarkan ramalan awal banjir di Terengganu bermula 26 Disember hingga 29 Disember.
Ia dijangka melibatkan daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Besut, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.
Sumber: Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Terengganu, TikTok