Kelayakan Piala Dunia: FIFA Kenakan Hukuman Berat, Gantung Bekas Pengurus Indonesia
Bekas pengurus pasukan Indonesia, Sumardji telah dikenakan hukuman berat oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), lapor Stadium Astro.
Hukuman itu dijatuhkan susulan kesalahan serius yang dilakukannya ketika perlawanan menentang Iraq dalam Kelayakan Piala Dunia pada Oktober lalu.
Berikutan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil, Sumardji dilayangkan kad merah selepas menolak pegawai perlawanan sehingga terjatuh.
Akibat insiden tersebut, beliau digantung selama 20 perlawanan serta didenda RM76,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Pada Disember lalu, Sumardji melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan susulan kegagalan mencapai sasaran kempen berkenaan, termasuk di Sukan SEA Thailand baru-baru ini.
Kini, beliau memegang peranan sebagai Ketua Pasukan Kebangsaan Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI).
“Saya sangat kecewa dengan tindakan ini kerana ia tidak masuk akal,” katanya.
Terdahulu, Sang Garuda yang sah menempah tiket ke Piala Asia 2027 terpaksa berputih mata apabila gagal mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 selepas tewas kepada Arab Saudi dan Iraq.