Sebuah hospital di Romania yang menempatkan pesakit COVID-19 dilaporkan telah terbakar pada awal pagi Jumaat sehingga menyebabkan lima orang pesakit terkorban, lapor Channel News Asia.
Kebakaran itu merupakan kejadian kedua dalam tempoh tiga bulan.
Pihak penyelamat menemui tiga pesakit yang meninggal dunia di hospital Matei Bals di bandar Bucharest itu dan tidak dapat menyelamatkan pesakit keempat.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Lucian, tidak lama selepas itu mayat mangsa yang kelima kemudian ditemui di salah satu tandas di dalam hospital tersebut.
Kebakaran dilaporkan berlaku di tingkat bawah sekitar jam 5 pagi waktu tempatan yang tersebar hingga ke empat wad.
Seramai 102 pesakit telah dipindahkan akibat daripada kejadian itu.
Pada November lalu, kebakaran dilaporkan telah berlaku di unit rawatan rapi sebuah hospital di bandar timur laut Piatra Neamt sehingga membunuh 15 orang pesakit COVID-19.
Romania setakat ini mencatatkan sebanyak 18,105 kes kematian akibat COVID-19, 721,513 kes positif dan 666,001 kes sembuh.
Sumber: Channel News Asia