Butterworth : Hospital Seberang Jaya (HSJ) mencari ahli keluarga atau waris kepada seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia di hospital itu pada 11 Dis lepas namun sehingga hari ini mayatnya masih belum dituntut.
Menurut kenyataan Unit Perubatan Forensik hospital itu, Mohamad Johari Yahya, 60, beragama Islam dan beralamat di No 1-1-6 Solok Mahsuri 3, Bayan Lepas dekat sini meninggal dunia pada 10.07 pagi ketika menerima rawatan di wad 5 HSJ.
“Pihak polis telah pergi ke alamat itu namun tiada sesiapa mengenali si mati dan usaha mengesan ahli keluarga serta waris kepada arwah telah dilakukan namun setakat ini tidak berjaya,” menurut kenyataan itu hari ini.
Orang ramai yang mengenali ahli keluarga atau waris si mati diminta untuk hadir ke Unit Perubatan Forensik HSJ bagi tujuan pengebumian.
Sumber : Bernama