Kuala Lumpur : Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook menggunakan nama Wendy Loong kerana menghina agama Islam di laman sosial berkenaan.
Antara NGO terbabit ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis), Amanah Rahsia Cekal (ARC) dan Pertubuhan Inspirasi Wanita Perak (PIWP).
Laporan polis dibuat oleh Presiden IRIM Amir Amsaa Alla Pitchay, Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah dengan ditemani Pengerusi PIWP Monaliza Mohtar dan wakil NGO lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 1.43 petang ini.
Amir berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa pihak polis supaya menjalankan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook tersebut.
“Kami menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) siasat perkara ini sampai ke akar umbi dan ambil tindakan seperi menubuhkan satu badan khas untuk memantau isu serius seperti ini supaya perbuatan biadap ini tidak terjadi lagi.
“Laman sosial bukannya bertujuan untuk menghina dan memfitnah sesama kaum jadi gunakan laman sosial dengan sebaik mungkin,” katanya kepada sumber selepas membuat laporan itu.
Sumber : Bernama