
Hilang Mata Akibat Kanser, Lelaki Ubah Suai Mata Palsu Letak Lampu Suluh
Hilang mata akibat kanser, seorang lelaki di Amerika Syarikat (US) mencipta inovasi menarik perhatian ramai dengan menukar bola mata prostetiknya menjadi lampu suluh, lapor NDTV.
Menerusi video yang dikongsi Brian Stanley, dia menunjukkan demonstrasi ringkas mengenai keupayaan lampu suluh matanya yang dipanggil sebagai Titanium Cyborg Eye atau Skull Lamp yang boleh menerangi kawasan seluas satu bilik.
Lelaki yang berusia 33 tahun itu berkata matanya tidak menjadi panas apabila lampu tersebut dihidupkan, disebabkan hidung dan kening melindungi mata sebelahnya daripada terkena cahaya.
Dia turut menerangkan tentang keupayaan jangka masa bateri lampu suluh itu bertahan dan memaklumkan bahan yang digunakan adalah selamat untuk diletakkan dalam mata.
“Ia tidak menjadi panas, garis hidung dan kening saya sepenuhnya melindungi mata daripada cahaya.
“Hayat bateri lampu suluh ini bertahan selama 20 jam. Sumber kuasa dan semua perkakasan dalam mata protestik ini terkandung dengan selamat,” katanya dalam video itu.
Ujar Stanley, tahun ini merupakan tahun kedua dia menggunakan lampu suluh itu dan jelasnya, dia telah mencipta dan membina sendiri inovasi tersebut menggunakan bilet titanium pepejal serta suis untuk buka dan tutup (on & off).
Jelasnya, selama penggunaannya untuk tempoh yang lama, mata protestik berlampu itu sangat selesa digunakan dan mampu berfungsi dengan baik.
“Saya mencipta dan membina sendiri daripada bahan berasaskan bilet titanium. Kini sudah berusia dua tahun dengan penggunaan sepenuh masa, ia selesa dan berfungsi.
“Saya juga turut mereka bahagian suis yang digunakan untuk hidupkan dan matikannya pada permulaan dan penamat video ini,” tambahnya lagi.
Difahamkan, ini bukan merupakan kali pertama Stanley mencipta mata cyborg.
Sebelum ini, dia pernah mencipta mata palsu yang menyerupai seperti watak robot separa manusia yang dilakonkan Arnold Schwarzenegger dalam filem Terminator.
Video itu telah mendapat banyak penghargaan di platform media sosial dan dalam masa dua hari selepas dimuat naik, ia sudah ditonton lebih satu juta kali tontonan.
“Okay, ini sangat hebat,” kata salah seorang pengguna Instagram.
“Kebaikannya, anda boleh menjadi sumber cahaya untuk diri sendiri namun keburukkannya orang lain akan mengharapkan anda jalan di depan dalam hutan yang menakutkan,” kata seorang lagi warganet.
Sumber: NDTV