Kredit The Thaiger

Hilang Kerja & Tiada Duit, Lelaki Nekad Jalan Kaki Pulang Ke Kampung Sejauh 1,350KM

Syed Faisal Sayed Muhammad

Hilang Kerja & Tiada Duit, Lelaki Nekad Jalan Kaki Pulang Ke Kampung Sejauh 1,350KM

Seorang lelaki yang kehilangan pekerjaan memutuskan untuk berjalan kaki sejauh 1,350 kilometer untuk pulang dari Songkhla ke Buriram, yang terletak di timur laut Thailand.

Kisah lelaki berusia 42 tahun ini diketahui selepas dia singgah di sebuah berek tentera untuk meminta air selepas 12 hari berjalan, Ahad lepas. Pada awalnya, askar-askar itu menyangka lelaki berkenaan adalah seorang penjenayah dan menyiasatnya, sebelum mendapat tahu cerita sebenar.

Dia memberitahu sudahpun menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer untuk tempoh 12 hari sebelum tiba di berek askar berkenaan. Sepanjang perjalanan tersebut, dia menumpang tidur di kuil di mana sami Budhaa memberinya makanan dan minuman.

Tentera yang bersimpati memberitahu lelaki itu bahwa mereka akan membayar tiket kapal terbangnya untuk pulang ke Buriram. Bagaimanapun, lelaki itu berkata dia tidak tahu bagaimana cara mahu menaiki kapal terbang. Tentera akhirnya memberinya wang tunai RM 121 dan menghantarnya ke stesen kereta api.

Lelaki itu mengambil laluan selama 13 jam dari Phatthalung ke Stesen Kereta Api Hua Lamphong di Bangkok. Dari sana, dia menaiki kereta api lain selama lapan jam dari Bangkok ke Buriram.

Mengimbas kembali kisahnya, lelaki kelahiran Buriram itu berpindah ke Songkhla tujuh bulan lalu untuk bekerja di ladang getah di daerah Na Thawi. Dia merancang untuk mencari duit dan menghantarnya pulang kepada keluarganya di Isaan. Pada mulanya dia berjaya meraih pendapatan RM 36 sehari dengan menjadi penoreh di sana.

Selepas bulan berlalu, lelaki itu berkata bahawa kerjanya semakin berkurangan sekaligus menyukarkannya untuk mencari wang. Ekoran itu, dia tidak lagi mampu menghantar pulang wang ke keluarganya seperti yang dirancang. Melihat keadaan yang semakin sukar, dia memutuskan untuk pulang ke rumah pada 5 September lalu.

Bagaimanapun, kerana tidak mempunyai wang atau telefon, dia memutuskan untuk pulang dengan berjalan kaki sahaja. Perjalanan jarak yang sama hanya mengambil masa selema 18 jam jika menggunakan kenderaan.

Sumber: The Thaiger