
Hilang Hampir 2 Bulan, Ibu Rayu Bantuan Kesan Nur Qasehku
Ibu kepada seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Nur Qasehku Suhaimi Abdul Rahman, merayu bantuan orang ramai untuk menjejaki anaknya yang dilaporkan hilang sejak 1 Oktober lalu.
Menurut ibu remaja itu, beliau sudah membuat hebahan melalui media sosial, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang petunjuk positif.
Dia bimbang akan keselamatan anaknya, yang sebelum ini memerlukan perhatian rapi kerana mengambil ubat berkaitan masalah kesihatan mental.
Terdahulu, Polis Melaka turut memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan remaja perempuan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata Nur Qasehku Suhaimi kali terakhir dilaporkan dilihat di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Seri Krubong 2 sebelum laporan polis dibuat pada 4 Nov lepas.
“Ciri fizikal remaja perempuan itu ialah berkepala botak, berbadan kurus, mempunyai ketinggian 161 sentimeter dan berat 50 kilogram.
“Pakaian terakhir remaja perempuan itu kemeja-T dan seluar warna hitarn,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Insp T. Veramuthu melalui talian 013-4574988 atau mana-mana balai polis berhampiran.

BACA: Lelaki Maut Dibunuh Di Restoran Di Sendayan
Sumber: Hazliz/FB, Polis Melaka Tengah