
Hidap Komplikasi Hati, Adik Asfa Perlu Bantuan Jalani Pembedahan Di China
Melihat anak-anak tumbuh membesar dengan sihat merupakan salah satu harapan setiap ibu bapa. Namun, siapa kita untuk menyangkal ketentuan takdir, apabila Allah SWT menentukan ia akan terjadi, maka ia terjadi.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu yang dapat digambarkan apabila melihat keadaan Asfa Qawiy Muhammad Syafiq Rahmi yang menghidap komplikasi hati.
Lahir pada 24 November 2024, anak bongsu daripada lima beradik ini memerlukan bantuan ramai untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di China.
“Cahaya mata kesayangan Fatin dan Syafiq ini dilahirkan di Batu Pahat bersama abang kembar lelakinya, dua nyawa kecil yang datang membawa sinar, namun satu daripadanya diuji dengan dugaan besar,” kata Pertubuhan Nadi Permata Malaysia.
Menurut pertubuhan itu lagi, adik Asfa telah menjalani pembedahan Kasai iaitu prosedur bagi membantu aliran hempedu dari hati ke usus, namun pembedahan itu tidak berjaya.
Keadaan hatinya kini semakin merosot dan satu-satunya harapan adalah dengan melakukan pembedahan pemindahan hati.
Bapa Asfa sendiri iaitu Syafiq akan menjadi penderma hati buat si kecil ini.

Anggaran kos pembedahan adalah sekitar RM200,000 dan jumlah terkini yang berjaya dikumpul Nadi Permata Malaysia adalah sebanyak RM150,801.97. Mereka masih memerlukan sebanyak RM49,198.03 lagi.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukannya menerusi akaun bank Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia di 5515 7530 7417 (Maybank) dengan Reference: Bantuan Asfa BA.
“Semoga Allah SWT membalas jasa baik dan kemurahan hati anda semua dengan pahala yang berlipat ganda,” kata pertubuhan itu.
Sumber: Nadi Permata Malaysia