
“Here We Go!” Kylian Mbappe Sah Sertai Real Madrid
Bintang Perancis, Kylian Mbappe dilaporkan sah menyertai kelab dari La Liga Real Madrid secara percuma apabila kontrak bersama Paris Saint-Germain (PSG) tamat pada 30 Jun, lapor BBC.
Difahamkan, dia menandatangani kontrak bersama Los Blancos selama lima tahun hingga 2029, dengan memperolehi gaji £12.8 juta semusim.
Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini memberitahu bahawa dia bersetuju untuk berpindah ke Santiago Bernabeu selepas mengumumkan meninggalkan PSG pada penghujung musim Mei lalu.

Pemenang Piala Dunia pada 2018 itu merupakan penjaring terbanyak PSG dengan 256 gol sejak dia menyertai mereka dari Monaco secara pinjaman awal pada 2017.
Mbappe dijangka akan diperkenalkan di hadapan peminat pada minggu depan di Stadium Bernabeu, sebelum Euro 2024.
Sementara itu, wartawan bola sepak dunia, Fabrizio Romano turut mengumumkan secara sah perpindahan pemain itu ke Madrid.
“Here We Go! Kylian Mbappe sah sertai Madrid kerana perjanjian telah ditandatangani.
“Madrid kini bersedia untuk mengumumkan Mbappe sebagai pemain baharu minggu depan, selepas memenangi Liga Juara-Juara.
“Setiap dokumen telah ditandatangani, dimeterai, dilengkapkan,” katanya Fabrizio dalam satu hantaran di Facebook.
Juara Liga Juara-Juara
Madrid baru sahaja mengesahkan kejuaraan Liga Juara-Juara (UCL) ke-15 dengan kemenangan 2-0 ke atas Borussia Dortmund di Wembley semalam.
Turun sebagai pasukan pilihan, wakil Sepanyol itu pada awalnya agak sukar menguasai permainan dengan serangan pemain lain.
Bagaimanapun, kelab gergasi Eropah itu berjaya memecahkan kekebalan benteng Dortmund dengan gol lewat permainan Dani Carvajal dan Vinicius Junior.
Gol pertama terhasil selepas bola dari umpanan Toni Kroos pada minit ke-74 berjaya ditanduk masuk Carvajal.
Anak-anak bimbingan Carlo Ancelotti melengkapkan malam penuh gemilang di Wembly dengan gol kedua menerusi Vinicius pada minit ke-83.
Madrid dijangka akan mengadakan perarakan trofi melalui ibu negara Sepanyol pada malam ahad (Sepanyol) selepas kejayaan mereka melebarkan rekod juara piala itu.
Kelab itu juga merupakan juara La Liga dengan 95 mata dalam 38 perlawanan, meninggalkan pencabar terdekat Barcelona 10 mata di belakang.
Sumber: BBC