Hentikan Serta-Merta Penjualan Aiskrim Yang Dicampur Ubat Batuk Pei Pa Kao – KKM
PUTRAJAYA — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan agar semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk aiskrim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) menghentikan serta-merta penjualan produk tersebut.
Ia selepas KKM mengambil maklum dan memandang serius penjualan aiskrim itu oleh sebuah rangkaian premis jualan ais krim.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, KKM menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah memaklumkan semakan terhadap aktiviti penjualan di premis yang ditularkan mendapati aiskrim tersebut disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk tradisional itu.
“Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional, dengan nombor pendaftaran MAL06061564T yang digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.
“Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,” maklum KKM.
Sehubungan itu, semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk ini adalah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
Sementara itu, KKM turut mengarahkan semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.
“Pihak industri makanan adalah diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan.
“Orang ramai juga adalah dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.
“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) http://moh.spab.gov.my serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) di www.facebook.com/bkkmhq,” katanya kenyataan itu lagi.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)