POHANG/DAEGU (Korea Selatan), 1 Nov – Seramai tujuh rakyat Korea Selatan masih hilang sehingga pagi ini setelah beberapa jam helikopter penyelamat yang mereka naiki terhempas di perairan kepulauan kecil Dokdo, lapor agensi berita tempatan, Yonhap News.
Helikopter yang membawa seorang nelayan penangkap ketam yang tercedera bersama rakannya serta lima anggota penyelamat dilaporkan berlepas dari Dokdo pada 11.26 malam semalam (Khamis) sebelum terjatuh ke dalam air.
Ekoran itu, berpuluh kapal tentera laut, helikopter dan bot nelayan berhampiran telah menyertai operasi mencari dan menyelamat, namun kesemua mangsa masih belum ditemui sehingga 8 pagi tadi, lapor wakil penyelamat.
Mereka merancang untuk meluaskan skala pencarian dan telah menghantar 12 penyelam laut dalam ke lokasi kejadian.
Perdana Menteri, Lee Nak Yon telah menugaskan kementerian terlibat untuk berusaha penuh dalam misi mencari dan menyelamatkan mangsa yang hilang.
Helikopter keluaran Airbus Helicopters jenis EC225 yang berpangkalan di Perancis itu dikenali sebagai Kumpulan Eurocopter yang boleh membawa sehingga 28 penumpang serta mampu terbang pada kelajuan 250 kilometer sejam selama lima jam.
Sumber: BERNAMA, New York Times